suria

Tiga Maut Termasuk Dua Wanita Dalam Kemalangan Berasingan

Keadaan sebuah lori kontena membawa muatan minuman yang remuk setelah terhumban pada ketinggian hampir enam meter di Kilometer 266.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran persimpangan susur masuk Tol Jelapang awal pagi Khamis. Kejadian pada 3.50 pagi itu menyebabkan mangsa, lelaki berusia 35 tahun berasal dari Melaka mengalami kecederaan di beberapa anggota badan. Lori tersebut dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menghala ke Pulau Pinang terbabas dan melanggar pembahagi jalan lalu terjatuh ke tebing jalan.

IPOH: Tiga orang termasuk dua wanita terbunuh, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan berasingan di Batu Gajah, Perak Tengah dan Tapah pada Khamis.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Perak Supt Wan Jamil Wan Chik berkata, dalam kejadian pada pukul 7.15 malam, mangsa Noraini Ahmad Shah, 50, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang, tiga jam selepas dimasukkan ke hospital itu.

Mangsa yang menunggang motosikal dikatakan dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lagi motosikal lain ketika membuat pusingan U di Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap, Perak Tengah, katanya ketika dihubungi, Jumaat.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang melanggar mangsa, Mohd Azzeen Ameera, 18, mengalami cedera parah dan dirawat di hospital yang sama.

Sementara itu, dalam kejadian di kilometer 337 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah, seorang pemandu lori, Mohd Saifuddin Nadarajah Abdullah, 47, berasal dari Seremban meninggal dunia selepas dirempuh oleh sebuah kereta lain ketika berhenti di lorong kecemasan pada pukul 8.10 malam.

Wan Jamil berkata sebelum kejadian, mangsa dikatakan melanggar sebuah lori pikap di hadapannya menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke lorong kecemasan.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu menuju ke utara.

"Mangsa dikatakan turun dari kenderaannya lalu dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang, manakala pemandu lori pikap hanya mengalami cedera ringan," katanya.

Katanya, dalam satu lagi kejadian di persimpangan empat lampu isyarat pekan Batu Gajah, seorang wanita meninggal dunia, manakala anaknya cedera parah selepas dirempuh treler ketika mangsa membuat pusingan U di jalan berkenaan.

Mangsa Siti Fatihah Omar, 38, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat, manakala anaknya Noraeliana Shamsuddin, 9, yang cedera parah dirawat di hospital yang sama.

Pemandu lori terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.

Kemalangan, Ipoh

Artikel Berikut

Artikel Lain