CHEMOR: Khabar angin tidak berasas mengenai 1MDB dan kerajaan hanya akan mensabotaj ekonomi dan masa depan negara, kata Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Menjawab soalan pemberita mengenai tuduhan terbaharu yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Kewangan II berkata menyebarkan pembohongan berterusan akan memberi kesan buruk kepada ekonomi. "Ini akan menyebabkan sentimen pasaran negatif dan pelabur menarik diri. Nilai mata wang kita akan mengalami kejatuhan yang lebih. "Mereka mensabotaj ekonomi dan masa depan negara kita," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat di sini, Sabtu. Beliau juga menggesa agar penyebar khabar angin berhenti membuat cerita tidak betul. Ahmad Husni berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya percaya dengan laporan di blog-blog di mana editornya adalah warga asing yang mempunyai kepentingan untuk mencemarkan reputasi negara. "Jika saya mendapat aduan, saya akan pergi kepada polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), bukannya media. "Tetapi tidak. Daripada mencari terlebih dahulu mencari bukti terhadap dakwaan tidak berasas ini, mereka memilih untuk memberitahu seluruh dunia tentang hal ini. Mari kita hentikan permainan ini, ini politik persepsi," katanya. Beliau menambah dengan tindak balas pantas terhadap tuduhan kepada beliau, Najib telah membuktikan kewibawaannya mengenai isu itu. Dalam laporannya pada Jumaat, WSJ berkata daripada siasatan dan dokumen, ia berkata sejumlah US$700 juta telah dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Najib sebelum pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013. 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri telah sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut, dengan Najib menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersubahat dengan sekutu asing untuk mencemarkan imejnya.