suria

Dera: Pasangan Ditahan Sebabkan Kematian Anak Angkat

MIRI: Polis menahan sepasang suami isteri kerana dipercayai mendera anak angkat mereka hingga mengakibatkan kematian kanak-kanak berusia dua tahun itu.

Lelaki terbabit berusia dalam lingkungan usia 30 tahun, manakala isterinya sekitar 20an disyaki mendera bayi tersebut sehingga cedera parah.

Bayi tersebut disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Miri pada pukul 12.30 malam, Sabtu.

Kes tersebut diketahui selepas pihak hospital membuat laporan polis.

Menurut laporan, pasangan tersebut membawa bayi lelaki itu ke hospital swasta di bandar Miri.

Bagaimanapun pihak hospital swasta itu memaklumkan kepada Hospital Miri mengenai kecederaan parah yang dialami bayi itu sebelum dihantar ke Hospital Miri dan dirawat di ICU.

Pasangan tersebut memberitahu pihak hospital bahawa mereka mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat pada 2014.

Mereka juga mempunyai anak kandung lelaki yang berusia lima tahun.

Bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian kanak-kanak itu.



dera, Hospital Miri, ICU

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain