SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi orang tengah dalam pertelingkahan antara rakan sekutunya, DAP dan PAS tidak menolak kemungkinan terbentuknya pakatan baharu. Ketidaktentuan terus melanda pakatan pembangkang itu apabila Pakatan 2.0 dikatakan bakal didedahkan selepas Aidilfitri ini. Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin ketika ditanya berhubung perkara itu berkata, semuanya akan disiapkan selepas musim perayaan ini. "Biar kita raikan hari raya dulu," katanya. Pengarah Komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil kemudiannya menambah: "Apabila ia berlaku, saya akan jemput anda untuk menghadiri sidang media." Terdahulu, pimpinan pakatan menghadiri mesyuarat bulanan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ismail. Shamsul Iskandar berkata, gabungan Pakatan Rakyat masih wujud dan akan terus bekerjasama pada masa depan.