suria

PM akan Umum Keputusan Pemindahan Pangkalan TUDM - Reezal Merican

KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan keputusan berhubung cadangan pemindahan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth yang mendapat tentangan beberapa pihak.

Menyatakan demikian, anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perbincangan mengenai perkara itu diadakan antara Perdana Menteri dengan kesemua pihak berkepentingan.

"Bagaimanapun belum ada sebarang keputusan dibuat," katanya kepada pemberita selepas majlis Nuzul Al-Quran peringkat Kepala Batas di Masjid Al-Jamiul Badawi dekat sini Jumaat malam.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Reezal Merican berkata apa yang pasti keputusan yang bakal dibuat itu sudah tentu akan memberi perkhabaran positif serta yang terbaik dan adil kepada semua pihak terlibat.

Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang turut membantah, menyarankan agar kerajaan Persekutuan menaik taraf pangkalan itu dan tidak memindahkannya ke kawasan lain bagi memberi laluan kepada pembangunan swasta. -- Bernama

TUDM, Reezal Merican

Artikel Lain