suria

TMJ Lebih Suka "Tewas Secara Terhormat, Bukan Menang Cara Menipu"

PETALING JAYA:  Selepas menamatkan beberapa siri perang mulut dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz baru-baru ini, terkini Tunku Mahkota Johor (TMJ), menyuarakan kebimbangannya mengenai jenayah rasuah.

"Rasuah adalah satu jenayah yang serius. Adakah anda tahu apa hukuman kerana melakukannya? Tiada apa-apa... sekiranya anda salah seorang ahli beberapa organisasi," kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook Johor Southern Tigers.

Sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Johor, beliau turut lantang bersuara dalam menyatakan keperluan menubuhkan badan bebas untuk pengadil supaya mereka tidak terikat dengan sebarang konflik berkepentingan.

"Terlibat dalam gejala rasuah adalah sifat yang sangat buruk. Diam dan tidak melakukan sesuatu mengenainya, adalah lebih keji," katanya.

Tunku Ismail turut menegaskan beliau lebih suka tewas dengan penuh hormat, daripada menang dengan cara menipu.

Kenyataan tersebut hadir selepas beberapa laporan media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Jumaat, WSJ dan Sarawak Report menyiarkan dakwaan bahawa hampir AS$700 juga (RM2.7 bilion) disalurkan ke akaun yang dipercayai milik peribadi Najib.

Najib bagaimanapun telah menafikan penemuan WSJ itu dengan menyatakan bahawa ia adalah satu muslihat politik oleh lawan-lawannya untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.





Artikel Lain