KUALA LUMPUR: Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada 27 Julai ini bagi membolehkannya membaca surat pelantikan peguam baharu yang akan mewakilinya dalam kes tuduhan qazaf. Anwar mahu melantik peguam baharu itu dalam permohonan bekas Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dan dua yang lain untuk mengetepikan semakan dan notis rayuan yang dikemukakan Anwar dalam kes itu. Mahkamah menetapkan tarikh itu ketika kes disebut di hadapan Ketua Pendaftar Mohd Khairul Nizzam Kassim dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam Roslizam Rahim mewakili Shamsuddin dan dua lagi pemohon iaitu bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Turut hadir peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Anwar. Ketika ditemui pemberita, Roslizam memberitahu Anwar belum memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan sehingga Isnin. "Sehubungan dengan itu mahkamah mengarahkan Anwar selaku responden memberi jawapan terhadap permohonan tersebut atau terdapat bantahan mengenai perkara itu," katanya. Sementara itu, Kamar Ainiah meminta mahkamah mengeluarkan surat arahan kepada Penjara Sungai Buloh bagi membolehkan Anwar dibawa ke mahkamah pada tarikh tersebut mengikut Seksyen 109 Akta Tatacara Mal Wilayah Persekutuan 2003. Ketika ditanya sama ada pihaknya akan memfailkan afidavit jawapan, Kamar Ainiah berkata mereka menunggu arahan daripada anak guamnya itu (Anwar). "Mungkin kita akan membalas afidavit tersebut atau mungkin juga kita akan mohon untuk membatalkannya," katanya. Ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan pada 13 Mei lalu melalui Tetuan Nailah Ramli and Partners melalui peguam Roslizam Rahim. Ketiga-tiga mereka memfailkan permohonan interlokutori dengan memohon untuk mengetepikan dan/atau membatalkan notis rayuan yang dikemukakan Anwar pada 23 April 2010. Notis itu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonan supaya pihak pendakwaan syarie meneruskan prosiding pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Mereka turut memohon untuk mengetepikan dan/atau membatalkan semakan yang dibuat Anwar pada 21 Feb 2012 berhubung keputusan mahkamah itu yang menolak permohonannya (Anwar) untuk meneruskan prosiding qazaf itu terhadap Mohd Saiful. Ketiga-tiga mereka mendakwa permohonan Anwar itu bersifat cacat. Selain itu, mereka turut memohon kos tindakan ditanggung oleh responden dan perintah-perintah dan/atau relief-relief lain yang difikirkan adil dan suaimanfaat oleh mahkamah. Dalam afidavit yang turut dikemukakan, Shamsuddin dan Che Mat mendakwa mereka tidak lagi memegang jawatan terdahulu iaitu ketika pemfailan kes rayuan dan permohonan semakan dibuat oleh Anwar. Shamsuddin dipindahkan pada 3 Nov 2014 ke Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, manakala Che Mat kini sebagai pengerusi di Pusat Zakat Wilayah Persekutuan dan tidak lagi memegang jawatan sebagai pengarah Jawi sejak 6 Ogos 2013. Jamil Khir yang dinamakan pemohon ketiga turut mendakwa Anwar sepatutnya menamakan jawatan dan/atau institusi tersebut sebagai pihak-pihak dan bukannya secara peribadi di dalam kesnya itu. Beliau juga mendakwa permohonan Anwar itu tidak lagi relevan dan bersifat akademik memandangkan Anwar telah disabitkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.