KUALA LUMPUR: Seorang kasanova yang memperdaya kira-kira 20 wanita untuk menyerahkan wang dan barang kemas mereka berjaya ditahan polis. Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai terlibat dalam 20 kes penipuan membabitkan kerugian mencecah RM155,000. Memperkenalkan dirinya sebagai Aidid Iskandar, Afzan Iskandar dan Hafis, lelaki itu akan mendekati mangsa dengan kata-kata manis menerusi Facebook. Bapa kepada tiga anak itu dikatakan menipu kira-kira 20 wanita berumur antara 28 dan 38 tahun dengan memperdayakan wang dan barang kemas mereka sejak dua tahun lalu. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Osman Mansor berkata, mangsa biasanya akan terjerat dengan kata-kata manisnya dalam masa seminggu. "Selepas berbual di Facebook beberapa kali, dia akan meminta nombor telefon wanita tersebut dan mengajak mereka keluar. Dia kemudiannya memberitahu niat sebenarnya adalah untuk menjalin hubungan dan akhirnya mendirikan rumah tangga," katanya. Sharul berkata sebelum menghilangkan diri dengan barangan berharga milik mangsa, dia akan membawa wanita tersebut untuk bertemu 'saudaranya' di sebuah hotel. "Setiap kali, mangsa akan meninggalkan beg mereka di dalam kereta manakala kedua-duanya memasuki hotel. "Suspek akan meminjam telefon daripada mangsa untuk menghubungi saudaranya dengan mengatakan telefon bimbitnya kehabisan bateri. "Dia kemudiannya melarikan diri," kata Sharul dalam satu sidang media pada Ahad. Sharul berkata wanita tersebut hanya menyedari suspek melarikan diri selepas menunggunya beberapa jam. "Bertindak atas laporan, kita menahan lelaki itu pada 30 Jun lalu kira-kira pukul 8 malam di Taman Cahaya Alam, Shah Alam. Dia mengaku terlibat dalam 16 kes di Brickfields dan tiga di Dang Wangi," katanya. Suspek ditahan reman sehingga Sabtu.