suria

Kesesakan Lalu Lintas Di Bandar Ibarat Bom Jangka

KUALA LUMPUR: Isu kesesakan lalu lintas yang teruk dialami pemandu di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang diibaratkan seperti 'bom jangka' yang boleh 'meletup' pada bila-bila masa dan memberi kesan kepada psikologi para pemandu.

Pakar Psikologi Dr Meriam Omar Din berkata walaupun kesesakan lalu lintas bukan satu-satunya masalah yang boleh menyebabkan pemandu kenderaan berada dalam keadaan tidak terkawal, ia akan memberi kesan jika mereka turut tertekan dengan situasi di tempat kerja atau di rumah.

"Apabila berada dalam situasi tegang, sedikit sahaja situasi sekeliling yang menambahkan kemarahan akan menyebabkan mereka menjadi 'panas'...kesesakan lalu lintas salah satu daripada contoh," katanya.

Kajian mendedahkan bahawa rakyat Malaysia di bandar besar secara purata menghabiskan dua jam sehari dalam kesesakan lalu lintas sekali gus mengakibatkan kerugian produktiviti berjumlah RM5.51 bilion, setahun.

Kira-kira 88 peratus penduduk bandar bergantung kepada kenderaan persendirian manakala 12 peratus bergantung kepada pengangkutan awam.

Mengakui hakikat terbabit, Dr Meriam berharap pemandu menangani tekanan hidup yang dialami dan tidak meluahkan kemarahan di atas jalan raya ketika berdepan dengan kesesakan lalu lintas.

"Kenal pasti punca 'stress', tanganinya dengan fikiran waras dan kalau boleh elakkan melalui jalan yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, perlu rancang perjalanan dengan bijak," katanya.

Pakar Psikologi Trafik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Rozmi Ismail berkata penyelidikan yang dijalankannya pada 2005 menunjukkan lapan daripada 10 pengguna jalan raya bersikap agresif ketika berada di jalan raya.

"Menurutnya situasi itu timbul berikutan sikap pengguna jalan raya yang masih ditakuk lama iaitu tergesa-gesa untuk pulang ke rumah dan hanya mementingkan diri sendiri.

"Kajian saya khusus kepada tahap tekanan dan hubungannya dengan sikap agresif, ia memberi hasil iaitu tingkah laku yang tidak dijaga akan menyebabkan individu menjadi agresif iaitu cepat marah, memaki hamun pengguna lain dan biadap," katanya.

Dr Razmi berkata didikan pemanduan berhemah kepada generasi muda harus diberi bermula dari sekarang agar tiada lagi kes pemandu bersikap negatif.

"Kemudahan pengangkutan awam juga perlu diperbaiki agar mendatangkan minat kepada orang ramai menggunakannya untuk ke tempat kerja, bayangkan betapa banyak ruang di jalan raya dapat dijimatkan jika ramai pengguna menaiki pengangkutan awam," katanya.

kesesakan, lalu lintas, Lembah Klang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain