suria

Petugas Taman-Taman Sabah Wira Sebenar Ops Kinabalu

KOTA KINABALU: Jika tidak dengan bantuan dan perhubungan berterusan dengan seorang petugas Taman-taman Sabah (Sabah Parks), Operasi Kinabalu bagi mencari dan menyelamat pendaki yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu akibat kejadian gempa bumi pada 5 Jun lepas, mungkin tidak berjaya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, Mithun J. Langgit yang turut terkandas di puncak gunung itu menjadi wira dan penyelamat kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan maklum balas berterusan mengenai situasi mangsa terkandas di puncak gunung setinggi 4,095 meter itu.

"Pelbagai tuduhan melulu dilemparkan kepada agensi penyelamat ekoran kegagalan helikopter penyelamat mendarat di puncak gunung dan kegagalan memberikan bekalan makanan serta pakaian panas.

"Oleh itu, kita menggunakan Mithun sebagai strategi untuk menyampaikan arahan kepada beliau bersama malim-malim gunung yang terperangkap menggunakan kepakaran masing-masing untuk membawa mangsa yang terkandas turun," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Lajim Ukin (PKR-Klias) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, Isnin.

Masidi turut menjelaskan kerumitan yang dialami pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat itu, antaranya faktor angin yang menjejaskan usaha penyelamatan.

"Saya ingin jelaskan bahawa helikopter hanya boleh sampai pada ketinggian 3,000 meter kerana masalah angin dan pada hari tersebut, sekurang-kurangnya tiga percubaan dilakukan untuk mendaratkan helikopter di puncak gunung.

"Ekoran masalah angin juga, bekalan makanan serta pakaian yang dibuang kepada mangsa terkandas tidak diterima kerana bekalan terbabit tersasar sejauh setengah kilometer dari sasaran sepatutnya," katanya.

Beliau juga berkata kabus tebal menyumbang kepada kerumitan operasi tersebut.

Jelas beliau, waktu gunung tersebut bebas daripada kabus adalah antara 6 pagi dan 7.30 pagi, sedangkan operasi mencari dan menyelamat digerakkan selepas gempa bumi berlaku pada 7.15 pagi.

Dalam tragedi gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itutelah mengorbankan 18 nyawa membabitkan warganegara China, Jepun, Singapura serta Malaysia.

Artikel Lain