suria

"Boat People" Tidak Dibenar Terima Pelawat - Imigresen

Muzamil Hamid Hussein, 24, bekas tahanan kem pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand berharap dapat berjumpa dengan isteri Menara Mohamad Shafi, 22, dan anaknya Nur Mustapa, dua tahun lima bulan yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen, Belantik di Sik. -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Pendatang asing yang ditahan ketika memasuki negara ini mengikut jalan laut atau dikenali sebagai "boat people" tidak dibenarkan menerima pelawat sepanjang tempoh di depot tahanan bagi tidak menganggu siasatan, demikian tegas Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Zahari Abdul Aziz.

Beliau berkata, siasatan secara menyeluruh penting terutama bagi mengesahkan status mereka, sama ada pelarian, mangsa pemerdagangan atau sebaliknya.

Malahan, katanya, boat people ini juga berbeza dengan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan pihak berkuasa di dalam negara.

"Kalau ada pelawat ingin menemui boat people ini, memang kita tak benarkan kerana mereka masih dalam siasatan pihak berkuasa sama ada melibatkan isu pemerdagangan orang atau pelarian," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai seorang bekas tahanan kem pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand berhasrat untuk bertemu dengan anak dan isterinya yang didakwanya ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah.

Dilaporkan, Muzamil Hamid Hussein, 24, yang kini bekerja di Kuala Lumpur berkata, isterinya, Menara Mohamad Shafi, 22, dan anak lelaki mereka, Nur Mustafa, dua tahun ditahan di depot tahanan itu selepas bot yang dinaiki mereka mendarat di perairan Langkawi pada Mei lalu.

Zahari berkata, walaupun 'boat people' ini tidak dibenarkan untuk menerima pelawat tetapi ahli keluarga mereka boleh berhubung menerusi panggilan telefon dan kiriman surat.

"Kita masih benarkan mereka berkomunikasi dengan ahli keluarga, sama ada menerusi panggilan telefon atau mesej bertulis sekiranya terdapat keperluan atau perkara penting, cuma komunikasi secara bersemuka dengan tahanan yang tidak dibenarkan," katanya.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, segelintir tahanan di depot terutama warga Myanmar etnik Rohingya yang boleh diiktiraf sebagai pelarian akan ditemuduga oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Kebanyakan mereka (pelarian) boleh dibebaskan mengikut arahan MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk bersama-sama dengan keluarga di luar," katanya.

Mengenai tahanan lain, Zahari berkata, depot tahanan memberi kemudahan kepada ahli keluarga untuk melawat penghuni dengan syarat mematuhi peraturan yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan seperti tidak membawa barang larangan.

"Mereka juga perlu membuat temujanji terlebih dahulu untuk membuat lawatan pada hari dan waktu tertentu," katanya.

Seramai 1,107 pendatang asing termasuk 715 warga Bangladesh dan 392 warga Myanmar etnik Rohingya ditahan di perairan Langkawi pada Mei lalu.

Setakat ini, lebih 13,000 pendatang asing ditahan di 14 depot tahanan imigresen seluruh negara, di mana lebih separuh daripadanya merupakan warga Myanmar termasuk kira-kira 4,000 etnik Rohingya.
boat people, Zahari Abdul Aziz

Artikel Lain