PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini Rabu mengarahkan peguam yang mewakili Datuk V.K.Lingam mengemukakan laporan perubatan anak guamnya itu dalam tempoh tiga bulan. Lingam, yang menghadapi prosiding menghina mahkamah bersama 24 yang lain kerana menuduh hakim Mahkamah Persekutuan melakukan plagiat dalam penghakimannya bagi satu kes sivil, kini menerima rawatan di Amerika. Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang mempengerusikan panel lima anggota, memerintahkan peguam C.K.Lim memfailkan laporan perubatan anak guamnya itu. "Saya hendak melihatnya dalam masa tiga bulan," kata Suriyadi, yang bersidang bersama hakim-hakim Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha, Tan Sri Abu Samah Nordin, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed. Terdahulu, Lim memohon mahkamah menangguhkan prosiding menghina mahkamah itu memandangkan Lingam tidak dapat hadir di mahkamah hari ini kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan dan memerlukannya menjalani pembedahan kali kedua. Suriyadi kemudian menetapkan 12 Okt sebagai tarikh sebutan kes itu. Pada 8 Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil alih prosiding menghina mahkamah terhadap Lingam, yang merupakan seorang peguam kanan, bekas pengarah urusan kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd (KJCF) Datuk See Teow Chuan dan 23 pencarum majoriti dan minoriti dalam Kian Joo Holdings Sdn Bhd (KJH). Peguam Negara mengambil alih prosiding itu daripada pemohon asal, penyelesai KJH, Ooi Woon Chee dan Ng Kim Tuck, yang menarik balik tuduhan menghina mahkamah terhadap Lingam serta 24 yang lain. Mengikut Perintah 52, Peraturan-peraturan Mahkamah 2012 berhubung komital, seseorang yang didapati menghina mahkamah, boleh dihukum penjara, dikenakan denda atau dibebaskan setelah membuat permohonan maaf tanpa syarat. Pertikaian undang-undang yang membawa kepada prosiding dalam kes ini bermula pada 2009 apabila responden mengambil tindakan mahkamah setelah sebuah syarikat saingan mereka, Can-One International Sdn Bhd, memenangi tender unuk membeli 32.9 peratus kepentingan dalam KJFC. Responden gagal dalam cubaan mereka untuk memohon Mahkamah Tinggi menghalang Can-One daripada membeli saham itu. Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan itu. Kes berkenaan kemudian dibawa ke Mahkamah Persekutuan, yang menyaksikan panel tiga hakimnya membuat keputusan yang menyebelahi penyelesai. Responden kemudian memfailkan permohonan semakan penghakiman dangan menyebut perbuatan memplagiat penghakiman bertulis mahkamah itu, tetapi ditolak mahkamah Persekutuan pada 22 Mei 2013.