KULIM: Suasana ceria dengan wajah gembira setiap anak yatim ketika diraikan pada majlis iftar mendorong pemilik Nasi Kandar Dinas meneruskan amalan yang sudah memasuki tahun ke-10. Kata, Abdul Aziz Shik Ahmad, beliau merasai kepuasan apabila anak-anak yatim yang diraikan dapat bersama-sama merasakan suasana berbuka puasa beramai-ramai ditempat yang selesa. "Sudah 10 tahun saya mengadakan majlis meraikan anak-anak yatim ini bila tiba Ramadan dan apabila mereka menikmati makanan yang dihidangkan dengan penuh selera saya rasa puas dan gembira,” kata usahawan berusia 47 tahun ini. Memiliki empat cawangan Nasi Kandar Dinas, masing-masing di Simpang Tiga Keladi, Kulim Bukit Tambun di Seberang Prai Selatan serta Sungai Ara dan Batu Maung, setiap rangkaian premis itu turut mengadakan program sama sempena Ramadan dan Aidilfitri termasuk bantuan kepada ibu tunggal serta warga emas. Pada majlis di Kulim, anak-anak yatim dihidangkan dengan aneka kuih muih serta juadah istimewa iaitu nasi bryani, ayam masak merah bermadu, daging masak hitam, acar timun dan nenas, minuman panas dan sejuk. Bukan itu sahaja, Abdul Aziz tidak ketinggalan mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir bagi menambahkan lagi keceriaan mereka pada bulan mulia ini. Kali ini, sekumpulan anak-anak yatim dari Pertubuhan Pembangunan Anak-Anak Yatim Bekas Tentera Malaysia Daerah Kulim bertuah kerana diraikan di premis Nasi Kandar Dinas. "Saya juga bekas tentera, walaupun perkhidmatan saya tidak lama namun semangat untuk membantu anak tentera tetap kuat, tambahan pula mereka adalah anak yatim dari bekas perajurit”, tambah Abdul Aziz lagi. Selain anak-anak yatim, ahli khariah dan ahli jawatankuasa Surau Al-Ihsaniah Simpang Tiga Keladi juga dijemput untuk mengadakan tahlil sempena Ramadan dan meraikan anak-anak yatim ini. Setiausaha Surau Al-Ihsaniah, Zainol Abidin Jaafar, 72 (gambar), amalan terpuji yang tidak pernah dilupakan pemilik Nasi Kandar Dinas membuatkan penduduk setempat menghormati Abdul Aziz.