suria

Umrah Bersama Pembaca Jelita Catat Sejarah

ASSALAMUALAIKUM. Pembaca tentu sekali sedang sibuk membuat persiapan Aidilfitri. Namun, usah alpa dan leka untuk terus meningkatkan doa serta bermunajat kepada Allah SWT kerana kita sudah memasuki minggu terakhir Ramadan.

Lazimnya, apabila memasuki 10 malam terakhir, hati saya semakin sayu dan air mata mudah sekali mengalir mengenangkan Ramadan yang bakal meninggalkan kita. Mudah-mudahan kita bertemu lagi Ramadan tahun hadapan dan berpeluang meningkatkan lagi amal ibadat dalam bulan yang menjanjikan ganjaran lumayan.

Tatkala ini juga, nostalgia ketika bertugas di majalah Jelita mengimbau kenangan. Manakan tidak, ketika bertindak sebagai Pengarang majalah itu, Jelita membawa pembaca menunaikan ibadat umrah untuk julung kali.

Kini, segala-galanya tinggal kenangan kerana majalah berusia 40 tahun itu tidak lagi diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd. Tanggal 30 Jun 2015 mencatat sejarah dalam kehidupan semua kakitangan syarikat penerbitan itu apabila operasi ditutup sepenuhnya dan keluaran terakhir majalah itu ialah Julai 2015 dengan gadis gambar kulit adalah Fasha Sandha.

Terharu. Itu yang boleh saya ungkapkan. Semoga rakan-rakan saya yang terbabit dalam pemberhentian itu tabah menghadapi ujian pada Ramadan dan diluaskan rezeki untuk memperoleh yang lebih baik. Yakinlah tentu ada hikmah di sebalik setiap yang kita terima.

Umrah bersama pembaca Jelita meninggalkan kesan mendalam dalam diri saya. Banyak ujian dan cabaran yang perlu saya harungi sejak dari Kuala Lumpur hingga Tanah Suci. Amat sukar untuk saya zahirkan menerusi ruangan yang amat terbatas ini.

Segala-galanya bermula apabila saya melahirkan hasrat untuk mengadakan program kembara bersama pembaca Jelita ketika mengadakan mesyuarat bulanan dengan kakitangan saya, iaitu Norhaizan Ahmad, Raja Nor Azeda Raja Uda, Siti Mariam Elias, Siti Mariam Md Shukor, Khairul Mizan Ahmad Suhaimi, Jamak Aton Habi Mahmood dan Mohd Fazli Mohd Idrus.

Semua tampak ceria dan destinasi pertama yang dipersetujui ialah Bandung, Indonesia.  Ada beberapa destinasi disebut-sebut dalam mesyuarat itu dan antaranya termasuklah Thailand. Saya mula mencari agensi pelancongan yang boleh menaja krew media untukprogram kembara itu. Saya turut berbincang lanjut dengan Ketua Acara & Promosi, Zuraini Kamaruzaman berhubung perkara berkenaan.

Sebuah agensi pelancongan milik seorang rakan bersetuju membawa saya dan Zuraini membuat lawatan tinjau ke Bandung pada awal Januari 2008 dan seterusnya mengendalikan program pembaca Jelita ke Bandung.

Sekembali dari Bandung, Zuraini memperkenalkan saya dengan pemilik Destinasia Travel & Tours, Aminuddin Abd Rahman kerana saya mula memikirkan destinasi lain selepas kembara Bandung bersama pembaca Jelita dilaksanakan kelak.

Biarpun kali pertama bertemu dengan Aminuddin, saya rancak bercerita apabila beliau memaklumkan bahawa Destinasia turut menawarkan pakej umrah. Pelbagai soalan saya kemukakan dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk menunda lawatan ke Bandung dan menggantikannya dengan kembara ke bumi Haramain pada Mei 2008.

Saya pulang ke pejabat dengan penuh kesyukuran kerana Aminuddin mahu mengendalikan umrah bersama pembaca Jelita dan bersetuju menaja dua kakitangan Berita Publishing bagi program itu.

Saya tiba di pejabat jam 5.30 petang. Sejurus melihat Jamak Aton yang masih menyusun atur majalah untuk terbitan Mac 2008, saya memintanya menukarkan artikel mengenai lawatan tinjau saya ke Bandung kepada program umrah yang bakal dianjurkan oleh Jelita.

“Aton, jangan guna artikel lawatan tinjau ke Bandung. KIV dulu cerita itu,” ujar saya tergesa.

“Hah, kenapa kak Ana?” tanya beliau terkejut.

“Nanti akak bagi awak cerita pasal umrah…”balas saya.

“Umrah? Tak jadi pergi Bandung ke?” tanya Jamak Aton dan mengekori saya ke dalam bilik.

“Ye. Bandung kemudian. Nak bawa pembaca tunai umrah dulu,” jawab saya tersenyum.

“Alhamdulillah. Ya Allah, seronoknya…” balas Jamak Aton terus.

Beliau pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Justeru, terpancar kegembiraan pada wajahnya apabila mendengar kata-kata saya itu.

Petang itu juga saya menyiapkan artikel satu muka surat bertajuk Lambaian Tanah Suci untuk menggantikan artikel lawatan tinjau ke Bandung. Jamak Aton juga nampak bersemangat mencari gambar hiasan untuk dimuatkan di dalam halaman promosi bagi mengajak pembaca menyertai program umrah bersama kami.

Ketika membentangkan isi kandungan Jelita keluaran Mac dalam mesyuarat bulanan penghias kulit majalah, saya tidak sabar-sabar memaklumkan kepada semua yang hadir pada waktu itu.

“Jelita akan mengadakan kembara umrah pada Mei ini dan ustazah Siti Nor Bahyah akan bertindak sebagai pembimbing kepada jemaah,” kata saya ketika membaca blurb yang tertera di muka hadapan kulit majalah.

“Bagus…Bila berangkat?” tanya Ketua Pengarang Berita Publishing, Datuk A Kadir Jasin.

“Insha Allah cadangannya hujung Mei ini Datuk,” jawab saya ringkas.

Pelbagai soalan turut dikemukakan kepada saya ketika itu daripada pengarang lain kerana ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kembara umrah. Ketika itu, tarikh diberikan adalah 26 Mei 2008 tetapi kadangkala ia boleh berubah menjadi cepat atau lewat satu atau dua hari.

Segala-galanya diatur rapi untuk tujuan mempromosikan pakej umrah. Saya mendapatkan bantuan rakan-rakan dari Berita Harian dan Harian Metro untuk mewarwarkan pakej umrah itu.

Setelah Jelita keluaran Mac dipasarkan dan akhbar memuatkan berita program umrah yang disertai Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood sebagai pembimbing, ustazah tersohor itu menghubungi saya pada suatu tengah hari dengan khabar dukacita.

“Ana, ustazah tidak dapat pergi umrah sebab doktor nasihatkan tidak boleh berjalan jauh kerana masalah kesihatan,” kata beliau.

“Apa? Macam mana ye sebab pembaca dah dimaklumkan ustazah akan pergi bersama-sama.

Sekarang tidak boleh pula. Malu Ana nanti,” jawab saya dengan nada kecewa.

“Memang tak boleh Ana. Doktor dah nasihatkan. Tak ada rezeki nak pergi ke sana Ana. Ustazah minta maaf sangat,” katanya lagi.

“Masalahnya ustazah, Ana dah keluarkan dalam majalah dan akhbar. Ana tak mahu jemaah kecewa juga,” balas saya pula.

“Minta maaf Ana. Memang ustazah tak boleh pergi,” akui beliau terus.

“Ustazah…sekejap lagi Ana hubungi ustazah sebab sekarang Ana di luar bersama-sama staf,” jawab saya lagi.

Ketika menerima panggilan telefon saya sedang mencuci tangan di Restoran Wong Solo, Ampang setelah mengajak staf makan tengah hari. Mujur juga saya sudah habis makan, jika tidak, harus tidak lalu makan saya dibuatnya sebab mendengar berita itu.

Sepanjang perjalanan dari Ampang ke Taman Desa, pelbagai persoalan bermain dalam minda. Tiba di pejabat, saya terus menghubungi ustazah. 

“Ustazah. Ana minta dan Ana harap Ustaz Wan Akashah dapat menggantikan ustazah untuk kembara umrah Mei nanti,” pinta saya.

“Baiklah. Insha Allah, bolehlah Ana, ustaz sebagai pengganti. Nanti ustazah maklumkan pada ustaz. 

Ustazah minta maaf sekali lagi. Sedihlah tak dapat pergi umrah dengan pembaca Jelita. Tapi nak buat macam mana, ustazah tak begitu sihat sekarang ini,” jawab beliau.

Lega saya mendengar jawapan ustazah. Selesai satu masalah dalam masa singkat. Panggilan demi panggilan diterima untuk menyertai program umrah bersama Jelita. Dalam kesibukan dengan tugasan di pejabat dan persiapan ke Tanah Suci, saya mendapat musibah.

Tepat jam 6 petang setelah menutup kursus memasak anjuran Berita Publishing, saya terjatuh ketika menuruni tangga di Lot 10 pejabat Berita Publishing di Taman Desa sehingga menyebabkan tulang pinggul saya retak.

Aduh sakit bukan kepalang. Pinggul saya terhentak di lima anak tangga. Ketika itu, anak sulung, Aliff Hazim menemani saya ke pejabat. Ketidakseimbangkan tubuh menyebabkan saya terjatuh kerana ketika itu kedua-dua belah tangan sedang memegang makanan pemberian Chef Anuar Deraman dan menggalas beg tangan.

Dua minggu saya terlantar di rumah. Terasa sakit ketika duduk dan sakit ketika baring. Mujur tiada yang serius dan saya dapat kembali bertugas seperti sediakala. Mulanya saya rungsing kerana khuatir jika tidak dapat menyertai pembaca ke Tanah Suci.

Alhamdulillah, Allah mengundang saya. Jadual asal pemergian pada 26 Mei dpercepatkan pada 24 Mei. Tiada jemaah yang mengeluh dengan perubahan itu namun kebimbangan saya untuk memaklumkan kepada mereka mengenai pertukaran pesawat bermain dalam fikiran.

Asalnya, kami dijadualkan berangkat dengan pesawat Saudi Airlines tetapi beberapa minggu sebelum berangkat, Aminuddin menghubungi saya pada suatu malam bahawa jemaah akan menaiki Air Lanka.

“Apa naik Air Lanka? Kenapa? ” tanya saya terkejut.

“Jemaah akan naik Saudi Airlines juga tetapi di Colombo. Jemaah akan bermalam di Colombo dan terbang semula ke Jeddah esoknya dengan Saudi Airlines,” jawab Aminuddin.

“Tiada kapal terbang lain ke? Bimbang jemaah bising,” balas saya pula.

“Tiada. Cuti sekolah,” jawab Aminuddin ringkas.

Sejurus meletakkan telefon, bermacam-macam persoalan saya fikirkan. Namun, hendak atau tidak, saya perlu mengikut setiap yang telah ditetapkan oleh agensi pelancongan berkenaan. Saya tidak mampu melelapkan mata sehingga jam 1.30 pagi.



Esoknya, saya  berkongsi masalah itu dengan Zuraini.  Beliau yang baru kali pertama mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci tidak memberi sebarang respons negatif. Begitu juga sebahagian besar jemaah lain. Melihatkan hampir semua jemaah yang dimaklumkan mengenai pertukaran itu bersikap positif, saya benar-benar berasa lega dan bersyukur.  Mereka redha nampak-nampaknya. Alhamdulillah. selesai sudah satu lagi ujian sebelum berangkat.

Kursus umrah diadakan pada 3 Mei 2008 di Kompleks Haji Kelana Jaya dari jam 10 pagi hingga 3 petang. Pembimbing bebas, Ustaz Md Roslan Mohamad Jaafar menyingkap sirah Rasulullah SAW dan mengupas ibadat umrah. Selesai makan tengah hari dan solat Zuhur, Ustazah Siti Nor Bahyah pula menyentuh aspek kerohanian persediaan sebelum kaki menjejak ke Baitullah.

Berkat usaha dan kerjasama ramai, umrah bersama Jelita direalisasi pada tanggal 24 Mei 2008 bersempena cuti sekolah pertengahan tahun.  Seramai 45 jemaah menyertai program itu. Sejumlah 40 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) manakala lima lagi kami temui di Lapangan Terbang di Jeddah kerana mereka berangkat dari Paris.   

Jemaah umrah Jelita bertuah kerana bukan sekadar memperoleh cenderahati daripada Destinasia tetapi turut dibekalkan pelbagai cenderamata seperti peralatan mandian, tuala, sejadah, makanan, ubatan-ubatan dan bahan bacaan. 

Wakil Destinasi, Tengku Abdul Rahman Tengku Abdullah mengetuai rombongan umrah kami.  Pada  jam 12.45 tengah hari, 24 Mei 2008, kami berlepas ke Colombo pada dan esoknya berangkat ke Jeddah untuk meneruskan kembara agung ke bumi Haramain.

Datuk A Kadir dan Pengurus Besar Kanan Berita Publishing, Zaini Zainuddin turut hadir di KLIA untuk mengucapkan selamat jalan kepada peserta rombongan. Ikuti catatan seterusnya kembara umrah bersama pembaca Jelita minggu hadapan.


Haramain, Aidilfitri, Jelita, Kadir Jasin

Artikel Berikut

Artikel Lain