PETALING JAYA: Pengguna Lebuhraya Sistem Penyuraian Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) bakal menikmati diskaun sebanyak RM0.20 dan RM0.60 bagi semua kelas kenderaan pada hari raya pertama. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK), Sazally Saidi berkata diskaun itu akan diberikan bermula pukul 12 tengah malam hingga 11.59 malam di LDP dan Lebuhraya SPRINT. "Untuk tahun ini, Kumpulan Litrak menganggarkan sebanyak RM193,000 diskaun tol akan diberikan kepada kira-kira 308,000 pengguna di LDP dan di SPRINT pula dianggarkansebanyak RM26,000 diskaun kepada 129,000 pengguna," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Diskaun Tol Sempena Aidilfitri di majlis berbuka puasa Kumpulan LITRAK bersama 30 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Bimbingan At Taqwa, Puchong di sini, Jumaat. Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ismail Md Salleh. Pada majlis sama, Sazally turut memberitahu LITRAK juga akan memberikan rebat tol sebanyak 20 peratus kepada pengguna kenderaan kelas satu LDP menerusi Program Pengguna Kerap. "Pengguna yang melalui LDP sebanyak 100 kali dalam bulan yang sama di mana-mana plaza tol LDP akan menikmati rebat tol 20 peratus. Ia sebagai menghargai dan mengurangkan bebanan pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya. Untuk program ini, LITRAK memperuntukkan sebanyak RM3.1 juta dari tahun 2011 sehingga Mei tahun ini," katanya. Sementara itu, Ismail turut menasihati pengguna lebuh raya untuk mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan sempena perayaan ini bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya semasa pulang ke kampung halaman.