KUALA LUMPUR: Mahasiswa Nasional berpendirian Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu berundur sebagai Perdana Menteri walaupun dikaitkan dengan kontroversi terbaharu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Wakil Sekretariat di bawah Biro Pendidikan Umno itu, Mohd Afiffi Mohd Aris berkata, keputusan itu kerana pemilihan Najib sebagai Presiden Umno dilakukan oleh ahli parti secara demokrasi pada 2009. Malahan katanya, siasatan berhubung dakwaan mengaitkan pemimpin nombor satu negara itu dilakukan Pasukan Petugas Khas di mana keanggotaannya berkredibiliti. "Saya rasa tak perlu Najib bercuti. Kepimpinan yang sekarang patut diteruskan. "Siasatan yang berlangsung pada hari ini yang diketuai, bukan daripada golongan yang biasa-biasa tetapi sebagai contoh ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sememangnya bukan calang-calang orang yang sangat dihormati di peringkat dunia.Tak kanlah kita hendak meragui kredibiliti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz," katanya pada sidang media di sini, Jumaat. Pendirian Mahasiswa Nasional itu jelas berbeza dengan apa yang disuarakan oleh sekumpulan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Isnin lalu yang menggesa Najib mengambil cuti dan meminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memangku jawatan beliau susulan skandal terbaru didakwa melibatkan perdana menteri itu. Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyaluran dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun peribadi Najib dianggotai oleh Zeti, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. Seorang lagi wakil Mahasiswa Nasional, Tengku Izwan Fareed Tengku Ismail pula berkata, kecelaruan maklumat di media sosial menyebabkan rakyat terutama mahasiswa terus menjatuhkan hukuman terhadap Perdana Menteri dan kerajaan dalam isu-isu semasa negara. Menurutnya, dalam Islam sendiri dinyatakan setiap tuduhan perlu disertakan bukti dan saksi. "Hukuman akan dijatuhkan selepas siasatan dibuat beserta dengan pembuktian, bukannya dengan menjatuhkan hukuman dahulu kemudian baharu siasat, itu tidak Islamik," katanya. Beliau menambah, Mahasiswa Nasional yakin dan percaya bahawa ada ruang dan peluang untuk menyelesaikan kemelut yang melanda negara pada hari ini. "Kami sangat berharap kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam tindakan supaya ia tidak mencemarkan imej negara dan menganggu gugat kestabilan politik dan negara. "Kami sebagai mahasiswa tidak menyokong kepimpinan Umno secara membuta tuli. Kami juga bersedia memberikan cadangan penambahbaikan yang perlu dibuat pimpinan secara keseluruhan," katanya. Tengku Izwan berkata, antara cadangan tersebut ialah kenyataan media yang dibuat oleh kepimpinan kerajaan dan Umno perlu menjaga sentimen rakyat. "Kedua, selesaikan segera kemelut perpecahan Umno dengan penyatuan ahli parti. Ketiga, penglibatan mahasiswa dan anak muda dalam kepimpinan parti perlu diperbanyakkan lagi supaya boleh menarik lagi sokongan anak muda kepada Umno. "Keempat, kepimpinan kerajaan perlu berfikir panjang sekiranya ingin melaksanakan sesuatu tindakan yang tidak populis di mata rakyat," katanya.