suria

"Pastinya Menangis Lagi" - Waris Mangsa MH17

PETALING JAYA: "Pastinya... menangis lagi," demikian kenyataan salah seorang waris mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MH17) di akaun Facebooknya pada Rabu lalu mengenai upacara memperingati tragedi itu yang bakal dihadirinya pada Sabtu ini.

Menyifatkan upacara itu sebagai penghormatan buat kesemua 298 mangsa yang terkorban dalam nahas itu, namun ia pasti mengundang rasa sedih waris apabila mengingati semula pemergian insan tersayang.

Bagi Mariyam Yusoff, isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, walaupun menerima pemergian suami sebagai suratan takdir namun hatinya 'tidak pernah berhenti menangis'.

Lebih menyayat hati katanya, lokasi upacara itu merupakan tempat yang sama jenazah suaminya tiba di tanah air dari Amsterdam pada 2 September tahun lalu sebelum dikebumikan.

Bagaimanapun Mariyam berkata, upacara itu perlu dihadirinya bagi memberi penghormatan kepada suami dan semua mangsa yang terkorban dalam nahas itu.

"Ya, kami (waris) atau sekurang-kurangnya kebanyakan kami teruskan kehidupan tetapi kesedihan pasti terasa bila mengingati pemergian orang tersayang.

"Upacara ini sudah pasti membuatkan kami akan menangis lagi. Orang lain mungkin persoalkan mengapa masih perlu ditangisi sebab dah hampir setahun kejadian berlaku.

"Anda tidak berada di tempat kami dan orang yang anda sayang tidak berada dalam pesawat itu. Tak apalah, kami reda. Alhamdulillah, kami masih diberikan kekuatan terutama dengan sokongan daripada keluarga," katanya kepada mStar Online.

Mariyam akan mengadiri upacara itu bersama dua anak lelakinya, Wan Yunus Uzair, 12, dan Wan Yusuf Irfan, 10, serta ahli keluarga arwah suaminya.

Upacara memperingati tragedi MH17 dijadualkan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Sabtu ini.


Bagi Noor Aini Mohd Noor, adik kepada seorang penumpang MH17, Allahyarham Noor Rahimah Mohd Noor, beliau menyifatkan tangisan adalah lumrah terutama ketika menghadiri upacara penghormatan seumpama ini.

"Rasa sedih mana boleh nak ditahan, apatah lagi ia babitkan orang yang tersayang.

"Tanpa upacara pun kami akan bersedih setiap kali teringatkan arwah. Kami cuma berharap dapat kawal emosi semasa upacara itu nanti," katanya yang akan hadir bersama sebahagian adik-beradiknya.

Sementara itu, suami kepada pramugari, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, bagaikan dapat merasai air mata anak sulungnya, Alif Haiqal, 9, yang akan menghadiri upacara itu.

Ahmad Tarmizi bersama dua anak lelakinya, Alif Haiqal (kiri) dan Alif Hazim (kanan).

Menurut Ahmad Tarmizi Ismail, anak sulungnya itu masih bertanyakan tentang ibunya sehinggakan dia sendiri sebak berhadapan dengan keadaan itu.

"Dia (Alif Haiqal) dah boleh terima perlahan-lahan tentang pemergian arwah. Tetapi, dia sering meluahkan perasaannya kepada saya bila dia rasa sunyi dan mahukan kasih sayang seorang ibu.

"Saya tahu dia akan menangis nanti semasa upacara itu kalau dia teringatkan ibunya. Tetapi saya harap dia dapat jadi anak yang tabah terutama dia akan ditemani oleh kakak saya, Rusmah Ismail, 50-an yang rapat dengannya, selain anak kedua, Alif Hazim yang berusia tiga tahun.

"Anak kedua saya masih kecil dan baharu belajar bercakap. Suatu hari nanti dia juga akan bertanyakan tentang ibunya dan saya akan jelaskan perkara sebenar. Sekarang, sayalah ayah, saya juga ibu buat mereka berdua," katanya yang tidak dapat menghadiri upacara itu kerana perlu menduduki peperiksaan bagi program pengajian separuh masanya.

Pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 selepas ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

MH17

Artikel Lain