suria

Pemeriksaan Mental Ibu Tanam Mayat Anak Lelaki Dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis melanjutkan tempoh pemeriksaan mental selama dua bulan lagi ke atas seorang ibu yang didakwa menanam mayat anak lelakinya di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong, Mac lepas.

Majistret Nurliana Ismail membuat perintah itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil memaklumkan laporan pemeriksaan mental tertuduh, Tan Boa Jia, 33, oleh pihak Hospital Tanjung Rambutan, Perak belum selesai.

Nurliana menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes tersebut.


Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam Kitson Foong yang mewakili Tan memaklumkan tertuduh tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana masih berada dalam pemantauan pihak hospital.

"Pihak hospital menjangkakan tiga bulan (pemeriksaan mental), psikiatri bukan seperti pemeriksaan biasa, perlu mengkaji tingkah laku dan sebagainya terutama jika membabitkan 'battered wife syndrome' (sindrom kemurungan)," katanya.

Pada 12 Jun lepas, Tan didakwa atas tuduhan melupuskan mayat Loo Yong Shen Evan, 9, yang dibunuh suaminya Loo Chon Wen, 33, di rumah No. 26, Jalan 10, Taman Usaha Jaya, Kepong, pada 2 petang, 29 Mac lepas.


Tan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan manakala suaminya didakwa membunuh anak itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Tan Boa Jia, Kitson Foong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain