KUALA LUMPUR: Sudah menjadi tradisi, tart nanas adalah antara biskut raya yang banyak dijual di bazar dan pasar raya serta menerima banyak tempahan menjelang Aidilfitri. Antara tart nanas yang popular ialah Tart Nanas Sepit. Pengusaha CookiesHauz, Tina Haryani Daud, 37, mendapati walaupun kini pelbagai jenis biskut raya moden di pasaran, Tart Nanas Sepit tetap menjadi pilihan utama pelanggannya. Biskut yang berintikan nanas di luar dan dohnya dicorak dengan menggunakan penyepit kuih khas menambahkan seri dan keunikan biskut itu. Setiap tahun, anak kelahiran Johor ini menghasilkan kira-kira 150,000 biji Tart Nanas Sepit sepanjang Ramadan bagi memenuhi permintaan pelanggannya yang terdiri daripada stokis, ejen dan invidividu di sekitar Lembah Klang dan Johor Baru. "Bagi mengekalkan kualiti dan rasanya yang asli, Tina hanya menggunakan bahan yang bermutu seperti tepung khas dan mentega gred tinggi untuk membuat biskut tart ini agar tahan lama dan rangup. "Dalam berniaga kita perlu ikhlas dan berani mengambil risiko. Biarlah keluar modal lebih dan jual pada harga berpatutan agar pelanggan puas hati dan akan datang lagi beli dengan kita," katanya kepada Bernama. Selain Tart Nanas Sepit, beliau juga menghasilkan 12 jenis biskut raya yang lain seperti Samperit, Almond London, Bepang Badam dan Tart Blueberry, dalam anggaran 33,000 biji setiap jenis. Hasil daripada usaha gigihnya, produk Tina Haryati kini mendapat sambutan baik dengan permintaan yang diterima, berterusan dan beliau turut berjaya memasarkannya di Pasaraya TS Mega (Cheras), beberapa kiosk petrol sekitar Bukit Jelutong dan Shah Alam, serta beberapa restoran termasuk Misicafe and Shoppe milik artis 80-an Datin Ramziela Radzillah. Premis operasi beliau di Taman Keramat AU3 mempunyai empat orang petugas yang membantu setiap hari sehingga lewat malam dalam bulan Ramadan bagi memenuhi pesanan pelanggan.-- Bernama