PADANG BESAR (Thailand): Tiga wanita terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam letupan bom di hadapan sebuah pusat karaoke di pekan Siam di sini malam Jumaat. Mereka yang cedera sedang dirawat di Hospital Hatyai. Menurut Ketua Polis Padang Besar Choketawee Janthongon, dua mangsa terbunuh di tempat kejadian termasuk pemilik karaoke itu yang berumur 43 tahun manakala seorang meninggal dunia di hospital Hatyai pagi Sabtu. Beliau yang ditemui wartawan Malaysia di pekan Siam Padang Besar pada Sabtu hanya mengesahkan mangsa yang lain berumur 28 hingga 40 tahun dan kesemuanya adalah rakyat Thailand. Katanya kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam (waktu tempatan). Letupan itu merosakkan enam buah kereta, lima motosikal dan tujuh rumah kedai dua tingkat berdekatan karaoke tersebut. Sumber memberitahu bom dipasang pada motosikal dan diletupkan dipercayai menggunakan telefon bimbit tidak sampai 10 minit selepas diletakkan di hadapan karaoke itu. Letupan itu berlaku tidak lama selepas beberapa siri letupan di Golok malam Jumaat. Semasa sekumpulan wartawan dan jurugambar Malaysia tiba, pasukan polis forensik Thailand sedang mengumpul bahan-bahan bukti di tempat kejadian. Seorang pemilik rumah kedai dua tingkat yang berhadapan karaoke itu yang hanya mahu dikenali sebagai Tuan Jo, 48, berkata beliau baru melangkah keluar tidak sampai 100 meter dari premisnya apabila letupan itu berlaku. "Saya berlari balik dan melihat beberapa wanita bergelimpangan dalam karaoke itu yang beroperasi tidak sampai tujuh bulan. Rumah kedai saya turut terkena serpihan bom akibat letupan itu," katanya. Jiran beliau berselang dua pintu yang mengadap karaoke itu, Kanika Ruang Song, 65, berkata beliau terdengar letupan kuat semasa berada di satu lagi kedai miliknya di bahagian belakang. "Saya takut untuk datang melihat.... letupan kuat itu mesti bom. Pagi ini saya lihat cermin belakang kereta Honda CRV anak saya pecah manakala serpihan bom mengenai bahagian hadapan rumah kedai," katanya dalam bahasa Melayu. Penduduk tempatan Haji Hassan, 62, berkata dia sedang menunaikan solat tarawih di masjid pekan Siam kira-kira 800 meter dari tempat kejadian apabila terdengar satu bunyi letupan kuat kira-kira pukul 8.30 malam.