LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dapat mematahkan tujuh cubaan menculik untuk tebusan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sejak tahun lepas termasuk kes terbaru di perairan Semporna bulan lalu. Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata kumpulan penculik itu dipercayai menyasarkan pengurus-pengurus resort yang mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka. Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama dan persefahaman mantap yang ditunjukkan warga ESSCom. Saya amat berpuas hati dengan kerjasama dan komitmen kerja yang ditunjukkan oleh semua anggota keselamatan ESSCom sama ada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang jenayah rentas sempadan dan pencerobohan bersenjata. Hasil kerjasama inilah, kita berjaya mematahkan tujuh cubaan menculik di perairan ESSZone. Namun kita tidak boleh leka, sebaliknya kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk membersihkan ESSZone daripada pendatang tanpa izin (PATI), khususnya tali barut yang mendalangi kes penculikan sebelum ini, termasuk di Restoran Ocean King, Sandakan...marilah kita bersatu membantu ESSCom, katanya. Abdul Rashid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Komander ESSCom dengan warga Briged ESSCom di Markas Briged ESSCom, Cenderawasih, Felda Sahabat, kira-kari 100 kilometer dari sini, Sabtu. Turut hadir Pengarah Pusat Operasi ESSCom Brig Jen Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail, Komander Operasi Daratan Kol Abdul Halim Ismail dan pegawai-pegawai kanan ESSCom. Sehubungan itu, Abdul Rashid meminta warga ESSCom supaya terus mengamalkan tahap disiplin dan kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Beliau berkata ini penting memandangkan cabaran dan persekitaran kerja yang dihadapi warga ESSCom amat mencabar berbanding suasana kerja rakan-rakan mereka yang bertugas di tempat lain. Menurut Abdul Rashid sikap dan amalan kerja seumpama itu perlu dipupuk dan diamalkan oleh setiap anggota keselamatan yang bertugas di ESSZone agar setiap operasi keselamatan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. "Kejayaan kita sebenarnya bukan hanya bergantung kepada kemampuan kita untuk menewaskan musuh di medan pertempuran sahaja tetapi juga memerlukan sebuah pasukan yang mempunyai tahap disiplin dan kerjasama yang tinggi semasa bertugas di lapangan. "Kita memerlukan anggota yang sentiasa patuh dan komited dengan tugas serta mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran ESSZONE yang begitu luas dan mencabar," katanya. Abdul Rashid berkata operasi mengawal perairan yang begitu luas bukan sesuatu yang mudah kerana anggota keselamatan bukan sahaja berdepan dengan musuh yang datang dari luar termasuk aktiviti penculikan untuk tebusan tetapi juga musuh dari dalam, khususnya kalangan PATI yang bertindak sebagai tali barut. "Setiap anggota perlu sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan serta memiliki sikap kesegeraan yang tinggi memandangkan pihak musuh sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melakukan jenayah. Kita hendaklah bergerak dan bertindak dalam satu pasukan kerana melalui cara ini pasukan kita akan lebih kuat dan mantap di dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Ancaman jenayah rentas sempadan boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira masa, katanya. Beliau berkata ESSCom kini sedang berusaha untuk melengkapkan pasukan dengan pelbagai peralatan dan aset-aset yang canggih dan moden bagi memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan rakyat khususnya komuniti pesisir pantai ESSZone berada dalam keadaan baik dan terkawal.