KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta agar tidak membuat sebarang andaian mengenai dakwaan Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata apa yang penting ialah menunggu laporan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dakwaan dalam laporan WSJ itu. "...yang paling penting, kita berikan kepada mereka (Pasukan Petugas Khas) untuk tentukan siasatan dan sebaik sahaja selesai, laporan akan didedahkan kepada umum," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden MCA di sini, Ahad. Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak menggesa Najib mengisytiharkan aset kepada umum susulan pelbagai dakwaan terhadap beliau mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Pasukan Petugas Khas itu yang diluluskan Parlimen, diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan dibantu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz. Pada 3 Julai lepas, WSJ menyiarkan laporan yang mendakwa sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik. 1MDB juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri. Sementara itu, Liow berkata, sebanyak 162 anggota delegasi yang terdiri daripada golongan profesional dari 80 syarikat swasta dan pemimpin MCA akan menyertai forum ekonomi antarabangsa dari 14 hingga 16 Julai ini, di Beijing, China. "Malaysia antara negara menyokong usaha 'One Belt One Road' oleh China dan ini merupakan satu platform yang baik antara dua negara bagi mengukuhkan lagi hubungan selain dapat meningkatkan kerjasama ekonomi," katanya. - BERNAMA