KUALA LUMPUR: Terapi bermain dengan kucing bagi mengurangkan tekanan kerja dan penat untuk warga kota merupakan pendekatan terkini diperkenalkan Purradise Cat Cafe, di Taman Tun Dr Ismail di sini. Diasaskan pasangan kekasih Daryl Phuah, 29 dan Isabelle Cheng, 29, kafe yang dibuka atas konsep yang dipinjamkan dari Jepun itu menggunakan sembilan ekor kucing jalanan terpilih dari Paws Animal Welfare Society (PAWS). "Pembukaan kafe ini selain ingin membantu mengurangkan stres, kami juga mahu masyarakat prihatin terhadap kucing-kucing jalanan kerana kebanyakannya tidak mendapat jagaan rapi dan sering dipinggirkan," kata Cheng ketika ditemui Bernama. Katanya kucing itu dinamakan mengikut karakter dan sifat mereka, iaitu Tails, Hiro, Patches, Mocha, Elsa, Luna, Brie, Casper dan Snowy. Cheng bercadang untuk mengambil lebih banyak lagi kucing-kucing jalanan untuk ditempatkan di kafe mereka pada masa akan datang. Cheng berkata pengunjung perlu membayar bayaran masuk RM15 untuk tempoh satu jam di kafe itu, dengan satu minuman jus buah-buahan diberikan percuma dan untuk sehari pengunjung boleh bayar RM39 termasuk pakej jus buah-buahan percuma. "Sebahagian daripada bayaran itu digunakan sebagai kos perubatan dan pembersihan kesemua kucing di sini," katanya sambil menjelaskan pengunjung juga boleh membawa kucing mereka sendiri. Menurut pengunjung Farhana Noorden, 28, yang baru pertama kali berkunjung ke situ, dia tidak menyangka terdapat kewujudan kafe seumpama itu bagi peminat kucing di ibu kota. "Saya terlalu gembira apabila kucing ini bersikap 'friendly' (mesra) dan suka dibelai kerana sesetengah kucing takut pada individu yang tidak dikenali, " katanya. Penyanyi Rozita Rohaizat berpendapat konsep kafe kucing banyak terdapat di di Tokyo, Jepun serta Australia namun dia tidak menyangka kafe sedemikian telah wujud di Malaysia. Menurutnya, adalah wajar kafe kucing sebegini difrancaiskan di seluruh negara agar lebih banyak kucing terbiar dapat diberi perhatian rapi oleh penggemar kucing.