PETALING JAYA: Penerbangan Malaysia (MAS) membatalkan tiga penerbangannya ke Denpasar, Indonesia pada Ahad berikutan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali akibat debu Gunung Berapi Raung. Menurut syarikat penerbangan itu, ia akan membantu para penumpang terjejas yang ingin menangguhkan atau membatalkan perjalanan mereka. "Mereka (penumpang) juga akan diberikan pilihan untuk menukarkan laluan perjalanan mereka ke Jakarta menggunakan MAS tertakluk kepada tempat duduk," kata MAS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad. MAS memantau keadaan yang berlaku dan akan menyediakan kemaskini berhubung operasinya. "Keselamatan merupakan kepentingan Penerbangan Malaysia dan akan menyambung semula penerbangannya sebaik sahaja keadaan pulih," tambahnya. Para penumpang boleh memeriksa status penerbangan mereka di www.malaysiaairlines.com atau menghubungi talian 1300-88-3000.