KUALA LUMPUR: Semua balai polis di negara ini disasarkan akan memperoleh penarafan hijau (pH) Jabatan Kerja Raya (JKR) secara berperingkat pada masa akan datang. Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkifli Abdullah berkata, PDRM menjadi organisasi kerajaan pertama yang mempelopori pelaksanaan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau sekali gus menyahut dasar teknologi hijau negara. "Kebanyakan bangunan milik polis di Malaysia adalah bangunan-bangunan lama dan semasa pembinaannya tidak mengambil kira aspek penjimatan penggunaan utiliti dan lain-lain aspek berkaitan alam sekitar. "PDRM telah membuat keputusan dasar, bagi pembinaan balai-balai polis dan fasiliti yang baharu, perlulah mencapai pH JKR sekurang-kurangnya empat bintang," katanya ketika majlis penyerahan sijil pH JKR Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Penyerahan Kotak Kitar Semula - 3R PDRM Peringkat Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Isnin. Zulkifli berkata, Balai Polis TTDI telah dipilih untuk dijadikan sebagai projek perintis pada 2014 dan telah diberikan pH JKR tiga bintang pada 13 April lalu. Katanya, inisiatif dan kolaborasi PDRM bersama Malaysia Greentech Corp itu telah berjaya mengenal pasti kecekapan tenaga dilaksanakan di balai polis tersebut. Antara yang dilakukan termasuklah pengubahsuaian, penukaran lampu LED, sistem penghawa dingin bioteknologi, kerja-kerja landskap dan pemasangan sistem kawalan tenaga. Jelasnya, sebelum ini secara purata Balai Polis TTDI menggunakan 49,640 kiloWatt (kW) elektrik setahun, dengan kos hampir RM24,000 dan melepaskan karbon dioksida berjumlah 36.8 tan. "Selepas tindakan diambil, penggunaan elektrik dan pembebasan karbon dioksida di balai tersebut berjaya dikurangkan melebihi 16 peratus," katanya. Menurut Zulkifli, untuk projek seterusnya, PDRM akan melakukan penambahbaikan bangunan sedia ada agar penarafan yang sama diperolehi. Setakat ini, sejumlah 12 bangunan telah dicadangkan untuk tujuan itu, termasuklah di Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. "Di Menara 1 Bangunan Utama Bukit Aman kita telah memulakan sistem pemantauan pengurusan tenaga dan mengambil langkah penjimatan. "Setakat ini kita berjaya mendapat penjimatan melebihi 500kW, saya percaya sehingga hujung tahun ini kos elektrik di Menara 1 ini dapat dikurangkan sebanyak RM1 juta. "Ini satu pencapaian yang baik, kita akan cuba perluaskan kaedah ini di bangunan dan premis PDRM lain secara berperingkat," katanya.