suria

Najib Serah Sumbangan Kepada 300 Gelandangan Ibu Kota

Najib (kiri) diiringi Tengku Adnan (tiga,kiri) semasa menyampaikan sumbangan kepada golongan gelangangan di Pusat Khidmat Sementara Gelandangan di Kuala Lumpur, Isnin. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Aidilfitri Jumaat ini, golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur pada Isnin mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyampaikan barangan dan wang tunai sempena program Nur Ramadan.

Kira-kira 300 gelandangan dari sekitar ibu kota bertumpu di Pusat Khidmat Sementara Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2, Jalan Sultan Ismail di sini yang menjadi lokasi agihan sumbangan berkenaan.

Mereka menerima wang tunai RM200 seorang, kain pelikat, kain batik, bungkusan makanan berbuka puasa dan bungkusan Aidilfitri sumbangan Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Sinotech Property Development Sdn. Bhd.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalannya, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Sharliza, 30, tidak dapat menahan sebak kerana tidak menyangka akan meraikan Hari Raya kali ini sebagai gelandangan setelah kehabisan semua wang simpanannya akibat ditipu rakan sekampung.

"Enam bulan lepas saya datang ke Chow Kit dari Pulau Pinang untuk memulakan perniagaan bersama rakan yang dikenali sejak kecil, tetapi dia menghilangkan diri setelah menerima duit modal yang saya berikan untuk berniaga," katanya yang tidak mempunyai ahli keluarga mahupun kenalan lain.

Ibu kepada dua orang anak lelaki berumur lima dan setahun dan baru sahaja ditinggalkan suaminya itu, turut terharu atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan gelandangan.

"Bagi saya tidak ada Hari Raya lagi selepas semua ini berlaku. Saya masih bingung dan tidak tahu apa saya perlu lakukan, saya belajar tak tinggi tetapi saya akan cuba cari duit juga," katanya yang bekerja sebagai pencuci pinggan dan bergaji RM5 sehari.

Sementara bagi Hanizah Udin, 57, ibu yang ditinggalkan sebatang kara oleh anak kandungnya setelah berkahwin berharap dapat bertemu dengan anaknya suatu hari nanti.

"Saya bersyukur kerana masih ada yang prihatin untuk memberi bantuan kepada orang-orang seperti kami ini, enam tahun sambut hari raya di lorong Chow Kit dah biasa dah tiada apa yang menarik," katanya.

Bagi Zaleha Zakaria, 37, wang tunai yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya khusus untuk membeli barangan keperluan raya seperti baju raya untuk lima orang anaknya.

Zaleha yang hidup sebagai gelandangan bersama suami dan anak-anaknya di Lorong Haji Taib Dua sejak 2001 berkata dia berasa teruja dan bersyukur kerana berpeluang bertemu dan menerima sendiri bantuan daripada Perdana Menteri.

"Insya-Allah, sumbangan yang diterima akan digunakan dengan jimat dan cermat apatah lagi kami sekeluarga hanya akan beraya di sekitar Jalan Chow Kit sahaja," katanya sambil mengelap genangan air mata. 

Sementara itu, bagi seorang gelandangan Irma Dawir, 65, meskipun menyambut hari lebaran dengan sederhana, namun baginya sumbangan yang diterima, nyata amat bermakna untuk dirinya sekeluarga.

"Setiap kali Aidilfitri kami hanya menyambutnya secara sederhana. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana pemimpin kita begitu prihatin dengan nasib golongan seperti kami," kata bapa kepada empat orang anak ini.

Selain menjadi tempat agihan makanan, bangunan dua tingkat itu juga menyediakan kemudahan infrastruktur seperti tandas dan bilik air serta ruang untuk bersolat.

Operasi pusat perlindungan yang dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) di bawah tanggungjawab sosial korporat itu akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan berkaitan.

Najib Tun Razak, gelandangan

Artikel Lain