Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abdul Rahim Abdullah berkata sebilah pisau pemotong sayur berukuran 20cm ditemui dalam bekas polisterin berwarna putih dalam bilik mandi rumah datuk suspek kira-kira 6.15 petang semalam.
Beliau berkata suspek yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini telah membawa anggota polis ke tempat kejadian dengan menunjukkan senjata yang digunakannya itu.
"Polis telah merampas pisau itu untuk dijadikan barang kes," katanya menerusi kenyataan di sini, Isnin.
Abdul Rahim berkata laporan penyiasatan lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh di Mahkamah Jitra mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali akan dikenakan.
Pada 7 Julai lepas, seorang wanita berusia 31 tahun ditahan berikutan penemuan beberapa bahagian bayi yang baru dilahirkan di dalam tangki tandas rumah datuknya.