suria

MH17: Tak Sanggup Tatap Gambar Arwah - Bapa

Md Salim Sarmo

PETALING JAYA: "Kalau tengok gambar arwah, lagi cepat kelopak mata saya berair," demikian luahan seorang lelaki bergelar bapa tatkala mengenang insan yang pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

Bagi Md Salim Sarmo, 67, bapa kepada Mohd Ali Md Salim, 30, yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 setahun yang lalu, jiwanya tidak sekental isteri, Junaidah Basiron, 63.

"Isteri saya akan tengok gambar atau baju arwah untuk mengubat rindu. Tapi saya tak boleh macam tu. Kalau tengok gambar arwah, terus menitis air mata.

"Saya tak boleh tahan...langsung tak boleh tengok (gambar), rasa rindu sangat kepada anak saya itu. Rasa sayu bila kenangkan arwah ketika hayatnya," kata Md Salim kepada mStar Online.


Mohd Ali merupakan salah seorang daripada 298 mangsa nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus university Rotterdam, Belanda.

Sambutan Aidilfitri tahun ini adalah yang kedua bagi keluarga Md Salim dan Junaidah setelah pemergian Mohd Ali.

Bagi Md Salim, perayaan Aidilfitri tahun ini yang bakal tiba tidak lama lagi hanya akan disambut sederhana.



"Saya masih simpan mesej sms (khidmat pesanan ringkas) yang dikirimkan arwah pada 13 Julai tahun lalu. Dalam sms tu dia sebut nak balik beraya dengan kami di kampung.

"Masa tu saya dan isteri serta adik beradiknya yang lain berasa sangat gembira. Memang tak sabar nak tunggu dia sampai. Tapi apakan daya, hajat itu tidak kesampaian.

"SMS itulah pengubat rindu saya. Bila rasa rindu, saya akan baca balik berkali-kali," cerita Md Salim menahan sebak.

Hari ini (Isnin) genap setahun sms itu dikirimkan oleh Mohd Ali - yang juga kata-kata serta 'perbualan' terakhir antara arwah dengan keluarganya.

"Dalam perbualan sms itu juga, dia ada tanya saya pakai seluar saiz apa. Katanya nak belikan untuk dipakai masa raya tahun lepas.

"Dia juga beritahu ada belikan saya dan isteri jam tangan. Tapi apakan daya, jam itu tidak dijumpai di tempat kejadian. Hilang entah kemana," katanya yang berasal dari Kampung Jayor, Pagoh, Johor.


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengusung jenazah Mohd Ali keluar dari helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk disembahyangkan di Masjid Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pagoh pada 22 Ogos tahun lalu.

Bercerita mengenai bagasi milik arwah yang ditemui di lokasi nahas, Md Salim berkata sehingga kini dia dan keluarga masih belum membukanya.

"Bagasi tu ada di rumah anak saya di Kuala Lumpur. Pihak pengurusan MAS berikan dengan senarai kandungannya.

"Tapi sampai sekarang kami tak buka lagi. Tak sampai hati nak tengok barang-barang arwah. Biarlah dulu, bila sampai masanya mungkin saya akan buka," katanya.

Md Salim bersama anak bongsunya, Noryasimah, 24, akan berlepas ke Amsterdam, Belanda pada 15 Julai ini bagi menghadiri upacara memperingati insiden nahas tersebut yang akan diadakan pada 17 Julai nanti.

MH17, MAS, Mohd Ali Md Salim

Artikel Lain