suria

Artikel WSJ Tidak Jelas - Peguam

KUALA LUMPUR: Tidak jelas sama ada artikel yang disiarkan Wall Street Journal (WSJ) menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau sebaliknya, kata peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Mohd Hafarizam mewakili firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak merupakan peguam yang bertanggungjawab menguruskan kes berkenaan bagi pihak Perdana Menteri.

"Artikel ini tidak jelas sama ada ia mendakwa bahawa wang itu adalah dari 1MDB atau tidak.

"Persoalan mengapa kita menghantar surat penjelasan adalah kerana kita mahukan WSJ memberitahu mengenai kedudukan yang sebenar.

"Sebaik sahaja pengesahannya diperoleh, maka ia adalah lebih mudah bagi saya untuk menasihati anak guam saya.

"Jika tidak semuanya dibuat hanya berdasarkan sangkaan semata-mata.

"Sukar untuk saya menasihati anak guam saya jika saya sendiri tidak pasti kedudukan sebenar," katanya kepada pemberita di mahkamah Jalan Duta di sini, Isnin.

Mohd Hafarizam yang berada di mahkamah untuk kes lain berkata beliau telah menasihatkan Najib bahawa artikel WSJ itu adalah tidak jelas.

"Dan anak guam saya bertanya sama ada saya boleh menulis surat bagi meminta penjelasan?

"Ya, memang benar firma guaman saya boleh mengatakan sama ada artikel itu adalah fitnah atau tidak, tetapi jika saya salah memberi nasihat, maka saya juga tertakluk kepada kecuaian profesional.

"Pada para pertama dan kedua artikel itu seolah-olah menngatakan bahawa wang itu adalah dari 1MDB tetapi kemudian, apabila anda melihat lagi, ia menyatakan pula bahawa sumbernya tidak diketahui," katanya.

Beliau berkata firmanya akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada Najib selepas WSJ menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu.

"Hanya selepas itu, surat tuntutan akan dikeluarkan.

"Dan jika mereka gagal untuk meminta maaf atau menarik balik, maka kita akan melihat sama ada kita perlu memfailkan tindakan writ itu atau tidak," katanya.

Najib memulakan proses perundangan terhadap WSJ berhubung artikel yang disiarkan pada 3 Julai lalu yang mendakwa wang 1MDB disalurkan ke akaun peribadi miliknya.

Firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dalam satu surat berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti fakta kes sebelum meneruskan tindakan selanjutnya terhadap pihak-pihak yang menulis, mengedar dan mencetak artikel terbabit.

“Melihat secara teliti kepada kandungan artikel terbabit, kami memutuskan bahasa yang digunakan secara sengaja atau tidak telah membuat rujukan beberapa fakta dan pihak-pihak terbabit telah dirujuk secara kurang jelas,” katanya di dalam satu surat.

Sebelum ini WSJ memetik dokumen siasatan ke atas syarikat 1MDB oleh pihak berkuasa Malaysia, yang menunjukkan berbilion ringgit dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib pada 2013.

1MDB, Najib Tun Razak

Artikel Lain