GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini Selasa menangguhkan perbicaraan kes pegawai kanan polis wanita yang didakwa melepaskan seorang tahanan dikenali sebagai 'kasanova' kepada 19 dan 20 Ogos depan.
Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Danny C. Navarednam yang mewakili ASP L. Chandkumary yang memohon penangguhan bagi memanggil seorang lagi saksi pembelaannya dalam kes itu.
Pada 21 Oktober 2013, Chandkumary mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berhubung kes itu.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sengaja melepaskan tahanan iaitu K. Prabaharan, 47, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Oktober 2013.
Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada pukul 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.
Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary, 58, didakwa mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh.