KUALA TERENGGANU: Bayi perempuan cukup sifat dan sihat yang ditemui di Taman Permainan Rekreasi Malawati berhampiran Sekolah Menengah Agama Marang akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas Aidilfitri. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Muhammad Pahemi Yusof berkata buat sementara waktu bayi seberat 3.3 kilogram itu akan dipantau Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi rawatan dan beberapa ujian saringan. "Selepas dua minggu bayi itu akan diserahkan kepada JKM untuk ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom Kuantan," katanya kepada pemberita selepas melawat bayi tersebut di sini, Rabu. Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui lima remaja lelaki yang mendengar tangisannya ketika berada di taman tersebut kira-kira 1.30 tengah hari semalam. Curiga dengan tangisan itu pelajar berusia 16 tahun bersama empat lagi rakannya mencari arah tangisan sebelum menemui bayi yang ditinggalkan di atas bangku dan dibalut dengan tuala. Muhammad Pahemi berkata pemeriksaan awal mendapati bayi itu sihat dan stabil namun hospital memerlukan lebih masa melakukan pemeriksaan menyeluruh pada bayi malang tersebut. Pada masa sama, beliau turut meminta ibu bapa mengawasi dan memantau pergerakan anak mereka agar tidak terlibat dalam gejala sosial dan terjerumus dengan insiden buang bayi seperti itu. "Kita harap ia dapat menjadi pengajaran. Ibu bapa serta penjaga harus memainkan peranan agar perkara seperti ini tidak berlaku dalam keluarga mereka. "Perbuatan seperti ini juga tidak sepatutnya berlaku ketika umat Islam sedang berpuasa dan hanya beberapa hari sahaja lagi mahu menyambut hari raya," katanya. Muhammad Pahemi berkata polis juga masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.