Khalid berkata pihak media tidak mengambil bahagian dalam perbincangan di antara pihak polis dan rakan kerjasama mereka dari Thailand sambil menegaskan bahawa permintaan telah dibuat untuk bertemu Justo.
"Siapa yang mereka tanya? Polis Thai? Mungkin mereka bertanya dengan media Thai dan mereka pasti tidak akan tahu.
"Perkara ini adalah antara PDRM dan Polis Diraja Thailand. Ya, sudah tentu kita telah meminta untuk bertemu Justo," katanya kepada pemberita.
Prawuth juga dipetik sebagai berkata bahawa mungkin terdapat percubaan untuk "memujuk" Justo untuk mengunci mulutnya dan polis telah meletakkan anggotanya bersama warga Switzerland itu apabila dia bertemu pelawat.
Hanya orang-orang tertentu sahaja dibenarkan melawatnya, katanya.
Bulan lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Justo telah menyampaikan maklumat salah mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang diambilnya dari PetroSaudi, kepada laman web berita Sarawak Report.
Justo telah menafikan dakwaan itu, media Thailand melaporkan.
Lelaki berusia 49 tahun itu telah dibayar bersamaan 140 juta baht (RM15.51 juta) untuk meninggalkan syarikat itu selepas dia didapati telah "bertindak bertentangan dengan kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan syarikat."
Khalid berkata permintaan telah dikemukakan pada bulan Jun kepada polis Thailand untuk menyoal siasat Justo.
Polis akan merekodkan kenyataan Justo sebelum membuat keputusan mengenai langkah seterusnya, katanya.