PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat supaya jangan mudah terpengaruh dengan suara yang menghasut untuk bergaduh atau mencetuskan perbalahan sesama Islam mahupun dengan bukan Islam. Beliau berkata sesuai dengan bulan Ramadan yang mulia dan Aidilfitri yang penuh barakah, umat Islam harus mengekang hawa nafsu amarah dan bermaaf-maafan serta memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan perpaduan sesama rakyat. "Islam adalah agama persaudaraan, Islam menganjurkan kita supaya hormat-menghormati sesama insan. "Jika kita dapat mengamalkan ajaran Islam sebenar maka saya percaya bahawa kita akan dapat mengekalkan keharmonian dan keamaan negara yang berbilang kaum dan agama," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri. Umat Islam di Malaysia dijangka menyambut 1 Syawal, Jumaat ini. Menurutnya, hikmah Ramadan melatih umat Islam untuk mengekang hawa nafsu dalam kehidupan seharian yang pastinya banyak dengan godaan yang perlu dijauhi untuk membina kehidupan bahagia dan sejahtera. Muhyiddin berkata dalam mengejar kekayaan, umat Islam juga tidak boleh membiarkan diri dikuasai oleh hawa nafsu, tamak dan haloba serta melakukan penyelewengan atau pecah amanah dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. "Dalam menjalankan kuasa yang ada pada kita juga, jangan kita berlaku zalim dan tidak adil kepada sesiapa. "Yang penting untuk menjamin kerukunan dan kebahagiaan umat Islam di dunia dan akhirat. Ingat, yang kita cari bukan kesenangan dunia semata-mata tetapi juga keredaan Allah SWT sebagai bekal kebahagian di akhirat nanti," katanya. Beliau berkata semoga madrasah Ramadan mendidik umat Islam untuk menjadi insan yang lebih baik, mulia dan lebih bertakwa kepada Allah SWT dan semua amalan mulia yang dilaksanakan sepanjang Ramadan dapat diteruskan dalam kehidupan seharian selepas ini. Muhyiddin juga menyeru warga kota yang pulang berhari raya di kampung halaman untuk memandu dengan berhati-hati, mematuhi undang-undang dan bersabar serta bersama-sama menjaga keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain.