KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan arah ke utara dilapor perlahan dari Slim River ke Gopeng dan dari Juru ke Seberang Jaya petang ini berikutan jumlah kenderaan yang semakin meningkat. Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Plus Expressways Sdn Bhd melaporkan di arah selatan pula, kesesakan berlaku dari Senawang menuju Pedas Linggi disebabkan kemalangan di Kilometer 253. "Namun kenderaan yang terlibat telah dialihkan ke lorong kecemasan. Bagaimanapun keadaan trafik masih bergerak perlahan," katanya kepada Bernama. Beliau berkata trafik dijangkakan akan menjadi lebih sesak selepas waktu berbuka puasa berikutan orang ramai mula menuju ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri. Sementara itu jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik ke pantai timur tidak berubah sejak pagi tadi di mana kenderaan bergerak perlahan dari arah Genting Sempah menuju Lentang, Bentong. "Keadaan di Plaza Tol Gombak sehingga pukul 6 petang juga terkawal, walaupun kenderaan bertali arus. "Sementara itu trafik di Lebuhraya Pantai Timur 2 di Plaza Tol Kuala Terengganu masih sesak sejak pagi," katanya. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.