suria

AirAsia Mula Penerbangan KL- Kaohsiung

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd telah memulakan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Kaohsiung, Taiwan dengan 99 peratus beban penerbangan.

AirAsia dalam satu kenyataan, berkata penerbangan yang berlepas pada jam 0830 itu telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaohsiung pada jam 1300 hari ini.

"Beban penerbangan dari Kaohsiung ke KL juga mencatatkan rekod yang memberangsangkan iaitu pada tahap 82 peratus," katanya.

AirAsia sekarang ini sedang menawarkan promosi semua dalam satu tambang, serendah RM199 sehala dari KL-Kaohsiung bagi memperingati kejayaan penerbangan sulung ini.

"Pelanggan boleh membuat tempahan mulai hari ini sehingga 19 Julai, 2015 untuk tempoh perjalanan segera dari sekarang sehingga 30 Sep, 2015.

"Tambang tersebut boleh ditempah melalui airasia.com dan juga melalui aplikasi mudah alih AirAsia pada iPhone dan peranti Android, dan pada laman web mudah alih AirAsia di mobile.airasia.com," katanya.


Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee, berkata adalah penting bagi syarikat penerbangan itu untuk terus mengembangkan rangkaiannya.

"Kami berbangga dapat menghubungkan kedua-dua utara dan selatan Taiwan terus ke KL, yang merupakan hab terbesar kami, seterusnya menawarkan mereka dengan sambungan ke lebih 20 buah negara di seluruh rantau ini," katanya.

Ketua Pengarah Biro Pelancongan Kaohsiung, Hsu Chuan-Sheng, berkata pelancong dari Asia Tenggara kekal sebagai pelawat ketiga terbesar ke Taiwan, manakala bilangan pelancong Taiwan ke Malaysia berjumlah kira-kira 200,000 secara purata setahun.

"Ini menunjukkan potensi yang besar dalam industri pelancongan di antara Taiwan dan Malaysia," katanya.

Menurut AirAsia, selain Kaohsiung, ia juga telah memulakan operasi untuk dua lagi laluan di mana penerbangan sulung dari KL ke Pattaya telah berlepas semalam dengan beban penerbangan sebanyak 84 peratus.

Laluan eksklusif dari Johor Baharu-Bangkok dijangka bermula esok dengan 97 peratus beban penerbangan.
AirAsia Bhd, Kaohsiung, Spencer Lee

Artikel Lain