suria

Pelajar Terkorban Bas Rempuh Lori, Empat Kenderaan Lain

SERDANG: Seorang pelajar maut manakala ibu bapanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan pelbagai jenis kenderaan berhampiran Plaza Tol Sungai Besi di Seri Kembangan.

Pegawai Turus Cawangan Trafik Selangor, DSP Azmi Mansor berkata kemalangan itu berpunca daripada sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur hilang kawalan di KM309.5 Lebuhraya Utara-Selatan.

Beliau berkata bas tersebut terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dan membelok ke arah trafik bertentangan sekitar pukul 5 petang Khamis.

"Ia merempuh belakang sebuah lori, menyebabkan lori itu terbalik.

"Bas itu juga bertembung dengan sebuah Toyota Vios, Toyota Estima, Proton Iswara dan Perodua Kancil di lorong bertentangan," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani berkata seorang pelajar berusia 17 tahun sedang dalam perjalanan dengan ibu bapanya menaiki Toyota Estima apabila kemalangan itu berlaku.

"Dia cedera teruk dalam kemalangan itu, manakala ibu bapanya cedera ringan.

"Para pengguna jalan raya yang lain juga cedera ringan. Pemandu bas berusia 57 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Pelajar itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Kes ini telah diklasifikasikan sebagai memandu melulu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berikut

Najib Lawat Wee Di Hospital

Artikel Lain