suria

Berfikir Rasional, Jangan Percaya Bulat-Bulat - PM

AMANAT...Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan sidang video dengan tiga Perwakilan Malaysia Luar Negara , Beirut ( Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin), Brunei dan Washington di kediaman rasminya, Khamis. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat Malaysia di luar negara perlu berfikir secara rasional dan tidak mempercayai secara bulat-bulat berita yang disebarkan dalam media sosial.

Beliau berkata untuk membina sebuah negara bangsa, rakyat Malaysia di luar negara perlu berfikir secara matang dan bijak menilai dalam membuat kesimpulan masing-masing.

Perdana Menteri memberikan contoh insiden rusuhan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur pada Ahad lepas yang tidak ada kaitan langsung dengan soal perkauman tetapi telah diputarbelitkan sehingga memburukkan lagi keadaan.

"Alhamdulillah, dengan tindakan pantas pihak berkuasa khususnya pihak polis, kita dapat meredakan keadaan dan ia tidak menjadi lebih serius.

"Insiden ini merupakan satu peringatan kepada kita semua supaya jangan kita terima bulat-bulat apa yang disajikan melalui media sosial," katanya semasa mengadakan sidang televideo secara serentak kepada duta dan perwakilan pelajar di tiga negara di kediaman rasminya, Seri Perdana di sini Khamis.

Sesi selama sejam itu diadakan bersempena sambutan Aidilfitri, melibatkan wakil dari Beirut (Lubnan), Washington (Amerika Syarikat) dan Brunei Darussalam.

Hadir sama isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.

Najib juga berharap semua rakyat Malaysia sama ada bertugas, belajar atau bermastautin di luar negara memainkan peranan untuk menaikkan imej Malaysia di luar negara.

"Gunalah kesempatan ini untuk membina 'networking' kita di luar negara yang boleh membawa kesan yang baik," katanya.

Perdana Menteri berharap pelajar Malaysia di luar negara dapat membina kemampuan minda untuk membuat penilaian yang lebih tepat dalam apa jua keadaan.

"Sebelum kita membuat kesimpulan, kita berfikir dan membuat penilaian tepat supaya dengan cara ini, kita dapat membina sebuah negara bersatu padu, tiada masalah hubungan etnik, tiada kefahaman ekstrem, tetapi bukan terlalu longgar sehingga mengetepikan nilai agama dan budaya kita," katanya.

Mengenai sidang televideo bersempena Aidilfitri, Najib berkata ia merupakan satu tradisi untuk mengeratkan silaturahim melalui wahana televideo di samping melihat suasana hari raya di luar negara.

"Dengan cara ini, saya dapat melihat suasana meriah perwakilan di luar negara yang sibuk membuat persiapan Aidilfitri.

"Selain itu, rakyat Malaysia yang berada di luar negara mesti merindui suasana Hari Raya di tanah air dan melalui televideo ini kita dapat menggambarkan suasana di Malaysia," katanya.

Najib juga menjelaskan televideo pada tahun ini diadakan lebih awal dan bukan pada hari pertama Hari Raya, dengan 1 Syawal mungkin disambut esok, Jumaat.

Beliau berharap perwakilan di luar negara menjemput rakyat dan pemimpin setempat untuk melihat sendiri cara rakyat Malaysia menyambut Hari Raya menerusi konsep Rumah Terbuka yang menghidangkan pelbagai juadah.


"Tradisi Rumah Terbuka merupakan satu pendekatan yang unik. Ia bukan terbuka secara fizikal tetapi membawa pendekatan membawa hati dan minda rakyat Malaysia dan pelawat dari luar negara supaya melihat kita sebagai sebuah komuniti bangsa Malaysia yang ramah mesra," katanya.

Sementara itu, Rosmah juga menyarankan pelajar Malaysia di luar negara dan tidak dapat pulang ke tanah air bersempena Aidilfitri untuk menelefon ibu bapa,  memohon ampun dan maaf.

"Sebagai seorang ibu, saya berharap anda semua menjadi anak mithali. Tidak kira anda berada di mana, anak mesti sentiasa ingat pada ibu bapa, jangan lupa," katanya sambil berpesan agar mereka belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar cemerlang.


Sepanjang televideo itu, Najib dan Rosmah yang berpakaian sedondon warna oren turut bertanya khabar dan bergurau senda dengan para perwakilan.

Artikel Lain