suria

Jangan Buat Kesimpulan Isu 1MDB - Hishammuddin

Hishammuddin (dua kanan) bersama Najib semasa menyambut orang ramai yang hadir pada Rumah Terbuka Hari Raya Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya. - foto SAMUEL ONG/THE STAR

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia diminta untuk bersabar dan tidak membuat kesimpulan mengenai siasatan dakwaan penglibatan Perdana Menteri dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kenyataan yang tidak disahkan, terutamanya di laman media sosial tidak akan menuntut keadilan terhadap mereka yang dituduh terlibat termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Penubuhan pasukan petugas khas adalah untuk mencari kebenaran dan laporan penuh dijangka selesai hujung tahun ini.

"Apa yang paling penting sekarang adalah untuk orang ramai tidak terburu-buru dan dipengaruhi emosi.

"Tunggu penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC), tunggu laporan pasukan petugas khas," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Perdana Menteri di Seri Perdana pada Jumaat.

Pada majlis sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai juga berharap agar rakyat memberi ruang kepada pasukan petugas khas untuk melakukan siasatan terhadap kes 1MDB.

"Kami tidak mahu rakyat membuat kesimpulan dan tuduhan berdasarkan laporan berita.

"Ini adalah perkara yang perlu difahami rakyat Malaysia," katanya.

Hishammuddin juga menggesa rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan menerusi media sosial terutamanya mereka yang tidak menghiraukan sensitiviti agama dan kaum lain.

"Sudah semestinya terdapat beberapa undang-undang tetapi rakyat perlu mempunyai beberapa bentuk 'penapisan diri' dan memastikan apa yang mereka sebarkan tidak sensitif kepada agama dan bangsa lain," katanya.

Artikel Lain