suria

Pemandu Dakwa Ombak Kuat Punca Bot Karam

Empat mati lemas dan tiga hilang selepas sebuah bot yang membawa 14 orang karam semasa upacara membuang abu mayat anggota keluarga di laut malam Jumaat. -fotoBERNAMA

TANJONG KARANG: Pemandu bot mendakwa ombak kuat merupakan punca bot yang dibawanya karam kira-kira dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang di sini Khamis sehingga mengorbankan lima nyawa setakat ini.

P. Alumalai, 51, berkata ribut petir berlaku ketika kejadian itu.

Beliau berkata mangsa dalam perjalanan pulang setelah melakukan upacara membuang abu mayat di kawasan perairan itu kira-kira pukul 5 petang.

Alumalai dari Sekinchan yang telah mengemudi bot selama enam tahun menolak dakwaan bahawa penumpang berlebihan turut menjadi punca bot berkenaan karam.

Bot itu yang dinaiki 14 orang yang terdiri daripada sembilan anggota keluarga dan lima pekerja bot berlepas dari jeti nelayan Sungai Kajang pada pukul 3 petang bagi melakukan upacara membuang abu mayat.

Dua jam kemudian ia dilapor karam semasa dalam perjalanan pulang.

Lima mayat ditemukan setakat ini yang kesemuanya berasal dari Sungai Buluh, Kuala Selangor, sementara dua lagi sedang dicari.

Tujuh orang berjaya diselamatkan nelayan tempatan sebelum ini.

bot, karam

Artikel Lain