suria

Utusan Fail Permohonan Batal Saman Menteri Besar Pahang

Adnan Yaakob

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Berhad memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung artikel 'Hebat Sangatkah Adnan', yang disiarkan pada November lepas.

Perkara itu dimaklumkan ketika kes disebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yeoh Wee Siam dengan kehadiran peguam Americk Sidhu mewakili Adnan dan peguam Azhar Arman Ali mewakili Utusan Malaysia.

Sehubungan dengan itu, mahkamah menetapkan Khamis ini untuk pendengaran permohonan tersebut.

Ketika ditemui, Americk berkata perbicaraan penuh kes saman itu akan diteruskan pada Isnin depan (27 Julai) sekiranya permohonan itu ditolak atau gagal.

Sementara itu, peguam Azhar Arman pula berkata 16 saksi termasuk tiga wartawan daripada Utusan Malaysia akan memberi keterangan pada perbicaran kes itu.

Pada 5 Disember tahun lepas, Adnan memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia berhubung artikel itu, yang diterbitkan defendan pada 9 Nov dalam akhbar Mingguan Malaysia, di bawah ruangan 'Analisis Mingguan Bisik-Bisik Awang Selamat'.

Beliau mendakwa artikel itu membawa maksud seolah-olah beliau tidak sesuai memegang jawatan menteri besar Pahang, gagal dalam menjalankan tugas, telah terlalu lama dalam jawatannya dan seorang yang berpura-pura.

Plaintif seterusnya mendakwa artikel itu menjejaskan reputasinya dan membawa kebencian di kalangan orang awam.

Menurut Adnan, pihaknya telah membuat tuntutan supaya defendan menyiarkan permohonan maaf di muka depan akhbar itu selain menuntut pampasan yang sesuai, namun sehingga kini defendan gagal berbuat demikian. -- Bernama


Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan