suria

DAP Dicabar Nafi Pertemuan Tony Pua Dengan Justo

Tony Pua.

TUARAN: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan mahu kepimpinan DAP tampil dan menafikan pertemuan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo di Singapura. 

Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata persoalan yang paling besar ialah apakah kepimpinan DAP termasuk Lim Kit Siang mahu ke depan dan mengaku bahawa Pua tidak terlibat sama sekali sama ada berhubung, berjumpa ataupun mengarahkan seseorang untuk berhubung dengan Justo. 

"Soal teknikal Pua jumpa Justo atau tidak, itu tidak penting. Itu biar pihak polis yang menentukan nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di sini, Isnin.

Abdul Rahman mengulas dakwaan mengenai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dan menjejaskan keselamatan nasional.

Laporan menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu membuat pendirian berhubung laman web dan portal berita yang melaporkan pembohongan dan isu kontroversi.

Ketika mengulas sama ada laman web Sarawak Report perlu ditutup kerana melaporkan dakwaan berlaku rasuah melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menteri itu berkata kerajaan mesti mengambil tanggungjawab tentang nasib laman web itu.

"Terdapat peruntukan dalam undang-undang, sejauh mana ia berkesan atau tidak, kerajaan perlu membuat pendirian. Tiada kerajaan di dunia akan membenarkan pembohongan secara terang-terangan seperti itu dan portal berita kontroversi untuk beroperasi di dalam negara ini.

"Apabila sesebuah laman web dianggap meminda atau memalsukan dokumentasi, maka kerajaan perlu membuat satu pendirian dan pendirian itu sangat jelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana laman web dan blog berita tidak bertanggungjawab yang menggunakan dokumen yang telah dipinda," katanya.

Artikel Lain