suria

Sekatan SKMM Tak Halang Sarawak Report Terus Dedahkan Isu 1MDB

Laman web Sarawak Report disekat SKMM pada Ahad.

SINGAPURA: The Sarawak Report akan terus menyiarkan laporan yang mendedahkan isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) walaupun laman webnya disekat pada Ahad.

Laman web itu menjadi sumber utama dakwaan berkaitan 1MDB dan telah menyiarkan beberapa berita berkaitan firma pelaburan kerajaan Malaysia itu.

Akses untuk melayari blog itu disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia dikatakan menggugat kestabilan negara.

Memberi maklumbalas berhubung tindakan itu, Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berkata, sekatan SKMM itu tidak menghalang sebarang usaha laman web berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad menerusi Facebook, laman web itu berkata: "Tindakan ini tidak akan menghalang Sarawak Report untuk terus menyiarkan maklumat apabila siasatan menghasilkan bukti selanjutnya.

"Perkembangan terkini ini akan menimbulkan keraguan terhadap pentadbir ketika ini yang terbukti gagal untuk menangani bukti yang kami ketengahkan."

Sebelum ini Sarawak Report menyiarkan laporan mendakwa berbilion ringgit yang dikaitkan dengan 1MDB disalurkan ke akaun peribadi milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Laporan sama turut disiarkan the Wall Street Journal.

Terdahulu pada Ahad, SKMM berkata, sekatan terhadap laman web Sarawak Report dilakukan kerana pihaknya menerima pelbagai aduan awam berhubung maklumat yang belum dapat disahkan itu.

Laman web itu disekat mengikut Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sarawak Report, 1MDB, SKMM

Artikel Lain