PETALING JAYA: The Edge Financial Daily kini bersedia ke mahkamah untuk mempertahankan artikelnya berhubung firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. "Kami ingin mengulangi apa yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa kami bersedia mempertahankan apa yang disiarkan berkaitan Jho Low dan 1MDB," kata akhbar kewangan itu dalam catatan editorialnya pada Selasa. Malahan, The Edge turut menawarkan untuk menyediakan dokumen berkaitan kepada penyiasat kerajaan. Catatan itu disiarkan bersama maklum balas 1MDB berkaitan pendedahan empat mukasurat The Edge Financial Daily mengenai Jho Low, PetroSaudi dan dana 1MDB. Sebelum ini, 1MDB menyelar The Edge kerana didakwa menyiarkan 'laporan yang tidak bertanggungjawab. Pada 29 Jun, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Edge berhubung laporannya mengenai 1MDB. Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong perlu bertanggungjawab berhubung laporan tidak tepat berkaitan 1MDB.