suria

Tindakan Tatatertib Terhadap Anggota Tubuh GHB Langkah Pramatang - Takiyuddin

Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, langkah mengenakan tindakan tatatertib terhadap anggota parti yang mahu menubuhkan parti Gerakan Harapan Baru (GHB) adalah langkah pramatang. 

Ini kerana, setakat ini mereka belum melanggar mana-mana peraturan atau perlembagaan parti selain tidak ada mana-mana anggota PAS lain yang membuat sebarang aduan rasmi terhadap tindakan mereka.  

"Setakat ini tiada aduan rasmi, Facebook, Whatsapp itu kita tidak boleh ambil kira kecuali ada aduan rasmi dibuat mengikut saluran yang betul barulah kita akan ambil tindakan. 

"Setakat ini, kesalahan itu dalam proses atau (mereka masih) merancang melakukan kesalahan. Kalau betul-betul buat baru kita ambil tindakan," katanya kepada Bernama

Kemelut dalaman PAS semakin meruncing apabila beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif, atau pernah dikenali sebagai G18, yang tewas dalam pemilihan parti awal bulan lepas melancarkan GHB. 

Ini bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang yang retak susulan keputusan PAS dan DAP untuk menamatkan kerjasama politik mereka. 

Antara pemimpin itu ialah Mohamad Sabu yang merupakan bekas Timbalan Presiden Pas; Salahudin Ayub dan Datuk Husam Musa (bekas Naib Presiden); Suhaizan Kaiat (bekas Ketua Pemuda), Khalid Samad (anggota Parlimen Shah Alam), Hanipa Maidin (anggota Parlimen Sepang) dan Datuk Kamaruddin Jaafar (anggota Parlimen Tumpat). 

Anggota Jawatankuasa GHB pada Isnin mengumumkan parti baharu itu yang diuar-uar akan menggantikan Pas dalam pakatan pembangkang akan ditubuhkan pada 14 September depan, diikuti konvensyen pertamanya pada 16 September.  

Berdasarkan Perlembagaan PAS, anggota parti dilarang menyertai atau menubuhkan organisasi politik lain. 

Mana-mana anggota yang melanggar peraturan itu akan secara automatik tidak lagi menjadi anggota PAS, katanya.

Ditanya sama ada tindakan kumpulan itu mengumumkan penubuhan GHB sebagai suatu provokasi kepada PAS untuk menamatkan keanggotaan mereka yang terlibat, Takiyuddin berkata, PAS tidak akan mengambil tindakan berdasar provokasi semata-mata.

Bagaimanapun katanya, beliau masih menaruh harapan kumpulan berkenaan menimbang kembali hasrat mereka untuk meninggalkan PAS.

"Pas mungkin lemah atau melakukan kesilapan tetapi masih ada banyak ruang untuk mereka bersama-sama betulkan keadaan dan berbincang melalui konsep musyawarah," katanya. 

Mengenai spekulasi bahawa sumpah bai'ah kepada parti menjadi punca wakil rakyat PAS dalam G18 tidak mengumumkan keluar parti, anggota Parlimen Kota Baharu itu menyifatkan soalan itu wajar diajukan kepada anggota berkenaan. 

"Tanya mereka yang terikat bai'ah kenapa mereka angkat sumpah, adakah kerana yakin tidak akan keluar parti atau hanya sebab hendak jadi calon PAS (dalam pilihan raya)," katanya sambil menarik perhatian bahawa sumpah bai'ah dilakukan secara sukarela oleh anggota parti.

Artikel Lain