BANGKOK: Polis Thai tidak akan memanggil mana-mana orang lain berhubung kes warga Switzerland, Xavier Andre Justo yang dituduh mengugut bekas majikannya PetroSaudi International. "Aktiviti itu tidak berlaku di Thailand. Ia mengenai penjelasan berhubung kaitan kes ini tetapi kesalahan itu tidak langsung berlaku di Thailand," jurucakap polis Thai Lt-Jen Polis Prawuth Thavornsiri memberitahu pemberita di sini, Rabu. Beliau ditanya mengenai pendedahan minggu lepas bahawa Justo telah menemui sekurang-kurangnya 10 orang di Singapura dan tempat-tempat lain, dan sama ada orang-orang ini akan dipanggil untuk disoal siasat. Justo dikatakan telah berjumpa mereka membincang dan merundingkan harga untuk menyerahkan salinan-salinan dokumen mengenai urusniaga PetroSaudi International dengan 1Malaysia Development Bhd. Hanya Justo, yang mengaku telah mengugut PetroSaudi International, telah disoal siasat dalam kes ini. Prawuth berkata, polis Thai kini di peringkat akhir mengumpul bukti kes tetapi belum ada tarikh ditetapkan untuk mengenakan tuduhan terhadap Justo. "Saya kira tidak lebih dari sebulan, tetapi tidak ingin mendesak pegawai-pegawai penyiasat. Jika saya kata dalam tempoh 10 hari, mereka (pegawai penyiasat) mungkin merasa tertekan," katanya. Polis Thai masih mempunyai 54 hari untuk mendakwa Justo, yang hingga Rabu sudah 30 hari ditahan polis. Prawuth berkata, Justo telah memilih sendiri peguamnya tetapi tidak tahu yang mewakilinya (Justo). Beliau berkata, salinan semua bukti dalam bentuk dokumen termasuk komunikasi emel berkaitan kes itu telah dibuat demi "keselamatan Justo". Ditanya apa beliau maksudkan berkata demikian, Prawuth menjelaskan salinan (bahan bukti) adalah perlu oleh kerana hanya Justo tahu mengenai bukti kes, dan jika sesuatu berlaku pada dirinya, tanpa salinan itu, ini mungkin menguntungkan orang lain. Beliau berkata, Justo berkeadaan baik dan kelihatan tidak tertekan. "Saya membuat pemeriksaan dengan pegawai-pegawai penjara kerana kami bimbang tentang kebajikannya dan beliau saksi penting dalam kes ini," kata beliau. Prawuth berkata, polis Thai masih belum menyerahkan sebarang salinan dokumen berkaitan kes itu kepada polis Malaysia, dan beliau tidak tahu bila ini akan dilakukan. "Ini dalam proses diselaraskan," kata beliau. Ditanya mengenai permintaan polis Malaysia untuk menyoal siasat Justo, Prawuth berkata, mereka telah menghubungi kerajaan Thai menerusi Kementerian Luar tentang perkara ini. "Bagaimanapun, Polis Thai belum diberitahu," katanya. - BERNAMA