PUTRAJAYA: Seorang pengarah syarikat yang ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 pada Jumaat. Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya dibebaskan dengan jaminan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman. Shafee berkata, setakat ini, anak guamnya masih belum pasti kenapa dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). "Apabila ditanya, majistret enggan maklumkan sebab penahanan, manakala timbalan pendakwaraya pula hanya memberitahu ia dilakukan mengikut Seksyen 17 (a)," katanya. Pengarah Syarikat berusia 39 tahun itu yang mempunyai kaitan dengan SRC International ditahan SPRM kerana menerima rasuah sebelum berlepas ke Taiwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2). Mahkamah sama sebelum ini mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap lelaki berkenaan bermula Selasa lalu.