PETALING JAYA: Penggantungan permit penerbitan The Edge akan menimbulkan persoalan berkaitan pengurusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ). Pengarahnya, Sonia Randhawa dan Jac Kee berkata, adalah penting bagi kerajaan dan awam bahawa tadbir urus serta pengurusan 1MDB dijalankan dengan telus dan bertanggungjawab. "CIJ meminta Kementerian Dalam Negeri menarik balik penggantungan akhbar The Edge serta merta dan menghormati kebebasan media serta kebebasan menyampaikan ekspresi. "Bagi kerajaan untuk menapis akhbar dengan cara ini, ia satu tindakan menindas dan melanggar kebebasan ekspresi serta media khusunya," katanya menerusi kenyataan, Jumaat. Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily untuk tiga bulan bermula 27 Julai ini. The Edge menerusi kenyataannya berkata, surat KDN itu menyebut tindakan itu dikenakan berikutan laporan berhubung 1MDB yang disiarkan akhbar berkenaan. Kata CIJ, kementerian itu seharusnya memberi alasan kukuh kenapa tindakan serius itu dikenakan terhadap The Edge. "Ia perlu nyatakan secara khusus bagaimana laporan The Edge berkaitan 1MDB boleh menggugat keamanan dan keselamatan awam. "Setakat ini, The Edge mendedahkan maklumat mengenai penipuan membabitkan berbilion Ringgit dalam syarikat pelaburan milik kerajaan itu. "Bertentangan dengan apa yang dinyatakan Kementerian Dalam Negeri, kerana The Edge bertindak untuk kepentingan awam dan negara dengan mengetengahkan dakwaan ini," kata CIJ.