suria

Keputusan PAC Berasaskan Persetujuan Bersama

Nur Jazlan Mohamed

PETALING JAYA: Datuk Nur Jazlan Mohamed menyangkal dakwaan sesetengah pihak dalam kerajaan dan pembangkang yang mempersoalkan kebebasan dan integriti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusi PAC itu berkata, jawatankuasa bebas itu tidak sepatutnya terkesan daripada tindakan seorang anggotanya kerana penemuan dan saranannya adalah berasaskan persetujuan bersama semua 13 ahlinya.

"Setakat ini, kami menetapkan sebarang keputusan dibuat berasaskan persetujuan bersama.

"Ini adalah asas integriti PAC," katanya.

Nur Jazlan memberi maklum balas terhadap desakan supaya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua disingkirkan daripada keanggotaan PAC kerana mengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara terbuka di mana jawatankuasa itu sedang menyiasat.

"Pua hanya seorang ahli, masih ada 12 lagi anggota PAC," kata Ahli Parlimen Pulai itu sambil menambah keanggotaan Pua dalam PAC hanya boleh ditentukan menerusi usul di Parlimen sama seperti tindakan yang diambil membabitkan wakil rakyat yang muflis dan melakukan jenayah.

Beliau berkata, keputusan PAC memanggil ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low berhubung pembabitannya dalam urus niaga kewangan 1MDB adalah bukti jawatankuasa itu bertindak tanpa memihak kepada sesiapa.

"Antara ujian tahap integriti jawatankuasa ini adalah penemuan dan saranan PAC akan dijadikan dokumen umum yang boleh dibawa ke mahkamah," katanya.

Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional baru-baru ini mendesak supaya Pua tidak lagi menganggotai PAC berikutan kritikannya terhadap 1MDB.

Mereka mempersoalkan sama ada wujud ketelusan dalam siasatan terhadap syarikat pelaburan kerajaan itu di mana timbul keraguan terhadap Pua kerana prosiding itu belum selesai.

Nur Jazlan Mohamed, PAC, 1MDB, Tony Pua

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain