PAPAR: Kementerian Kerja Raya telah mencadangkan kepada Kewangan Kementerian supaya kerja menaik taraf jalan raya dalam projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, dipercepatkan. Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ini kerana penggunaan jalan raya terlibat mencapai tahap maksimum pada setiap musim perayaan. "Kita memang telah mengutamakan pelaksanaan naik taraf jalan ini di peringkat kementerian. "Tetapi prosedurnya peringkat agensi pusat (Kementerian Kewangan) yang akan membuat keputusan sama ada ianya akan dilaksanakan pada awal Rancangan Malaysia Ke-11," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di sini, Sabtu. Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dengan kos RM27 bilion yang menghubungkan Sabah dan Sarawak sepanjang 2,239 kilometer dijangka siap pada 2020.-- Bernama