suria

Nazir Razak, Tony Fernandes Kutuk Penggantungan The Edge

Nazir Razak (kiri) dan Tony Fernandes.
PETALING JAYA: Dua pemimpin perniagaan terkemuka mengutuk tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung permit The Edge berhubung laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, yang juga merupakan adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat tindakan undang-undang lain yang lebih baik untuk menangani isu itu berbanding penggantungan permit.

Nazir memuat naik gambar logo The Edge di laman Instagram pada Jumaat dengan kapsyen 'The Edge adalah tunggak dalam komuniti perniagaan kami - berperanan besar dalam menyampaikan informasi, jujur ​​& kompetitif".

"Liputan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak akhir-akhir ini kelihatan cemerlang tetapi jika terdapat kelemahan, betulkannya atau ambil tindakan undang-undang.

"Saya mengutuk penggantungan tersebut & ingatan saya kepada semua kakitangan yang terlibat," kata Nazir.

Ketua Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes adalah salah seorang yang memberikan komen terhadap 'posting' Nazir berkata kebebasan akhbar adalah tiang demokrasi.

"Terdapat jalan keluar lain jika laporan itu salah. Hari yang menyedihkan, saya amat terkejut," kata Fernandes.

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai.

The Edge dalam satu kenyataan berkata penggantungan itu disebabkan laporan ke atas 1MDB.

Artikel Lain